Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Al-Quran dan Non-Muslim..(Bhg. Akhir)

Apr 28, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 3:33 PM

Salam,

1. Alhamdulillah, isu bacaan Al-Quran oleh YB Pantai Remis sudah pun reda. Tiada lagi proses tayangan semula dan dimain-main kembali oleh media massa khususnya RTM.

2. Dalam menjelaskan percanggahan pendapat dan kekeliruan berkaitan isu ini elok kita membaca penjelasan daripada Ulama' Muktabar seperti berikut agar kita dapat membuat penilaian yang seimbang dalam memahami isu ini.

3. Fatwa dari Syeikh Atiyyah Saqr (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) seperti yang terdapat di dalam kitabnya Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam:


Soalan:

Saya merupakan seorang guru al-Quran al-Karim dan Bahasa Arab. Terdapat nas-nas al-Quran al-Karim dalam sukatan pelajaran yang perlu dipelajari oleh semua pelajar dan antara mereka adalah orang Islam dan bukan Islam. Maka adakah boleh orang bukan Islam membaca dan menghafal ayat-ayat al-Quran al-Karim?

Jawapan:

Berkata sebahagian ulama: Golongan bukan Islam tidak ditaklifkan dengan syariat dan hukum-hakam Islam kerana asal syariat tidak terdapat di sisinya. Maka mereka tiadalah halangan (boleh) untuk membaca, membawa dan menyentuh al-Quran al-Karim walaupun tanpa wudhuk.

Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat: Golongan bukan Islam turut ditaklifkan dengan hukum-hakam dan permasalahannya. Mereka juga akan dihisab oleh Allah Taala di atas pentaklifan syariat ini. Maka mereka tidak dibolehkan untuk membaca, menyentuh atau membawa al-Quran al-Karim jika tidak berada di dalam keadaan bersuci.

Jika perkara itu masih lagi terdapat khilaf maka tiadalah halangan (boleh) dari mengambil salah satu pandangan ulama khususnya jika terdapat keadaan yang memerlukan yang demikan.



4. Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Hamid Ahmad al-Bar:

Adapun orang bukan Islam tidak ditaklifkan (syariat Islam terhadap mereka) dan mereka juga tidak suci sepertimana orang Islam maka adalah tidak boleh orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sengaja.

Namun jika orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sebab untuk mempelajari atau mendalami Islam maka tindakan mereka (membaca al-Quran al-Karim) itu tidaklah mengapa.



5. Hadapi Khilaf ini dengan kaedah Fiqhiyah: Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.(Lihat kitab: al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

6. Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelasnya ialah kita tidak boleh menafikan, membantah atau menuduh orang lain adalah tidak betul atau salah kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya.

7. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menyanggah dan menyalahi kaedah ini lantas menyalahkan orang lain yang tidak sependapat dengannya.

8. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah di antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam di Malaysia khususnya semenjak sekian lama.

9. Masalah ini mula timbul apabila ada satu pihak begitu cepat melatah dan cuba memperbesarkan sesuatu isu itu di atas tujuan kepentingan politik masing-masing. Kedua-dua tokoh ini (S.S. Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Zakaria dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat) bercakap dan memberikan pandangan mereka secara bebas dalam kerangka pemerhatian masing-masing.

10. Kedua-duanya mempunyai hujjah dan alasan yang tersendiri untuk kebaikkan umat Islam di Malaysia. Cuma cara dan jalannya sahaja yang berbeza untuk sampai kepada matlamat yang sama iaitu Islam.

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment