Pengorbanan 'Ibrah Daripada Arafah (Bhg.1)
Nov 25, 2009
, Posted by hamba_tarbiyah at 10:47 AM
Apakah sebenarnya yang diimpikan oleh jemaah Haji apabila mereka menjejakkan kaki mereka khususnya pertama kali di bumi Makkatul Al-Mukarramah? Tidak lain tidak bukan ingin memberikan tumpuan yang sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah.
Apa lagi? Juga tidak terlepas niat mereka untuk mendapatkan Haji Mabrur. Apa lagi? Masing-masing mungkin boleh memberikan jawapannya. Bagaimanakah kesan Haji Mabrur ini? InsyaAllah kita akan sama-sama melihat sedikit gambarannya terutama ketika melaksanakan Wukuf di Padang Arafah.
700000 ahli Jemaah Haji Tidak Mendapat Mabrur Kecuali Zaid
Hasan Al-Basri ketika dalam suatu perjalanan, beliau telah berhenti untuk beristirehat tetapi kerana terlalu letih beliau tertidur. Semasa tertidur, beliau telah bermimpi mendengar perbualan dua Malaikat.
Berkatalah Malaikat pertama, “sungguh ramai sekali orang menunaikan ibadah haji pada tahun ini.”
Kata Malaikat kedua, “yalah, tahun inilah paling ramai orang yang menunaikan ibadah haji sehingga 700,000 orang."
Kata Malaikat yang pertama, “Tahukah kamu berapa ramaikah orang yang mendapat Haji Mabrur?"
Kata Malaikat yang kedua, “hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.”
Berkata lagi Malaikat yang pertama, “tidak seorang pun dari jemaah tersebut yang mendapat Haji Mabrur. Tahukah kamu mengapa tiada seorang pun dari jemaah tersebut layak untuk mendapat Haji Mabrur?”
“Tidak", jawab Malaikat yang kedua.
Lalu Malaikat yang pertama memberitahu,
“mereka tidak layak mendapat Haji Mabrur kerana ada yang menunaikan ibadah haji sedangkan kewajipan tanggungannya dalam kekurangan diabaikannya, ada di antara mereka menunaikan ibadah haji sedangkan jirannya yang berada dalam serba kekurangan tidak dihiraukannya, ada pula antara mereka menunaikan ibadah haji untuk kali yang kedua dan ketiga untuk menunjuk-nunjuk sedangkan masih ramai lagi orang lain yang tersangat ingin untuk menunaikan ibadah haji tetapi tidak dipedulikannya. Akan tetapi ada seorang hamba Allah yang bernama Zaid seorang tukang kasut yang tinggal di sebuah kota yang bernama Kota Damsyik mendapat pahala Haji Mabrur.”
Tatkala itu Hasan Al-Basri terjaga dari tidurnya dan masih teringat-ingat akan mimpinya. Beliau merasakan mimpinya itu benar lalu mengambil keputusan untuk menuju ke Kota Damsyik bagi mencari Tukang Kasut tersebut.
Setelah berada di Kota Damsyik, maka Hasan Al-Basri telah berjaya bertemu dengan seorang tukang kasut yang bernama Zaid. Pada mulanya, beliau tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan dan bertanyakan soalan tetapi akhirnya beliau mengambil keputusan untuk menceritakan perihal mimpinya itu kepada Zaid.
Lalu berkatalah si Tukang Kasut tersebut,
“sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, saya tersangatlah rindu berkeinginan untuk mengunjungi Kota Mekah. Maka sejak dari itulah saya mula menabung sebahagian dari duit upah sebagai seorang tukang kasut.
Maka pada tahun ini cukup sudah duit tabungan tersebut untuk saya menunaikan fardhu haji. Tetapi pada tahun ini juga isteri saya sedang hamil dan akan melahirkan anak.
Isteri saya telah mengidam inginkan masakan yang dibaunya lalu meminta pertolongan saya untuk mendapatkan.
Maka saya menyedari bahawa bau tersebut datangnya hasil daripada masakan dari rumah yang serba kedaifan milik seorang Ibu Tunggal yang menyara enam orang anaknya.
Maka saya menceritakan hasrat isteri saya mengidam hendak memakan masakannya." Lalu berkatalah Ibu Tunggal tersebut,
"masakan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami. Lalu saya berhasrat membelinya walau dengan berapa harga sekali pun. Lalu berkata lagi si Ibu Tunggal tersebut, makanan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami. Lalu diceritakannya masakan yang baunya semerbak itu adalah bangkai dari seekor keldai. Kami terpaksa memakannya agar kami tidak mati kebuluran."
Lalu dengan berlinangan air mata, saya kembali ke rumah dan menceritakannya kepada isteri saya.
Setelah mendengarnya isteri saya juga menitiskan air mata dan kami mengambil keputusan untuk memberi kesemua wang simpanan saya kepada Ibu Tunggal tersebut.
"Sekadar itulah apa yang dapat saya ceritakan kepada tuan”, berkata si Tukang Kasut kepada Hasan Al-Basri mengakhiri ceritanya.
Demikianlah prasyarat yang menjadikan Zaid ini mendapat pahala Haji Mabrur walhal beliau tidak langsung berkesempatan untuk menjejakkan kakinya walaupun sekali ke bumi Makkah.
Sedang hampir 700,000 ahli jemaah haji berada di sana, beliau tetap berada di rumah mengorbankan kudrat, harta dan duit tabungannya untuk ke Makkah demi membantu orang yang sangat dan lebih memerlukan.
bersambung...
Currently have 0 comments: