Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Hukum Melukis dan Mengambil Gambar (Fotografi)

Dec 6, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 1:23 AM



Ada seorang sahabat telah bertanya berkaitan dengan hukum melukis dan mengambil gambar. Terdapat tiga persoalan hukum yang ditimbulkan:
a. Hukum mengambil gambar (fotografi).
b. Hukum melukis gambar hidupan bernyawa.
c. Hukum melukis gambar kartun.
Adakah tindakan melukis mencabar kekuasaan Allah sebagai Al-Khaliq(Maha pencipta)?

1. Pertama, saya tidaklah mempunyai "competency" untuk menjawab persoalan ini melainkan bergantung sepenuhnya kepada carian dan sedikit kajian melalui sumber-sumber yang thiqah dan shahih.

2. Atas dasar ilmu dan ilmiah maka saya ingin sama-sama mengambil inisiatif dan usaha untuk mencari dan melihat rujukan-rujukan yang muktabar dari sumber-sumber yang thiqah lagi shahih.

3. Walaupun saya pernah satu ketika mengikuti pengajian kitab dan mendapat sedikit ilmu berkaitan hukum ini, saya tetap tidak merasa selesa untuk menggunakan ilmu itu melainkan ia dipertajam dan diperkemaskan dengan carian dan kajian mengenainya.

4. Alhamdulillah, terdapat beberapa carian yang saya jumpa dan ia bukanlah semata-mata diambil secara serkap jarang, tetapi tapisan dibuat dengan melihat rujukan yang shahih.

5. Berikut merupakan ringkasan dan sedutan perbahasan berkenaannya. Rujukan: PMRAM atau Halaqah


Hukum Mengambil Gambar (Fotografi)

Hukum : Harus.
Hujah :
Gambar fotografi adalah dibenarkan(harus) selagi mana gambar yang diambil tidak diharamkan untuk dilihat. Oleh itu, apabila seseorang mengambil gambar temannya dalam keadaan si teman menutup aurat, hukum mengambil gambar tersebut adalah dibenarkan. Jelasnya mengambil gambar manusia yang yang tidak menutup aurat adalah diharamkan.

Gambar yang berwarna ataupun hitam putih adalah sama dari sudut hukum. Keadaan gambar tersebut adalah hitam putih atau berwarna bukanlah penentu kepada sesuatu hukum.





Hukum Melukis Gambar Hidupan Bernyawa

Pendapat Para Fuqaha' Mazhab Al-Imam Hanafi, Syafie dan Hambali:
1. Tidak membenarkan sama sekali seseorang individu melukis gambar objek-objek yang hidup daripada manusia dan binatang.
2. Mengharamkan seseorang daripada mengukir patung-patung yang menyerupai manusia ataupun binatang.

Pendapat Para Fuqaha' Mazhab Al-Imam Maliki;
1. Makruh hukumnya melukis gambar yang sempurna bagi manusia dan haiwan.

[Para ulama berselisih pandangan dalam masalah ini kerana berbeza pandangan dalam memahami hadith Rasulullah yang zahirnya melarang lukisan.]





Hukum Melukis Kartun

Hukum: Harus.
Hujah:
Kartun adalah benda yang tidak bernyawa dan dicipta oleh manusia seperti kereta, rumah dan sebagainya. Seluruh para ulama Islam bersepakat bahawa seseorang individu dibenarkan untuk melukis gambar-gambar benda yang merupakan hasil ciptaan manusia itu sendiri seperti melukis gambar rumah, kereta, masjid, komputer dan sebagainya.

Ini kerana manusia telah dibenarkan untuk mencipta benda-benda tersebut. Apabila seseorang individu itu telah dibenarkan oleh Islam untuk mencipta kereta, dia juga boleh melukis gambar kereta. Ini kerana gambar kereta lebih mudah untuk dihasilkan berbanding dengan mencipta kereta. Kalaulah mencipta kereta yang lebih sukar telahpun dibenarkan oleh Islam, maka menghasilkan gambar kereta lebih-lebih lagi dibenarkan.




Hadith Yang Menunjukkan Seolah-Olah Pelukis Mencabar Allah

* Berkenaan dengan hadith yang zahirnya menunjukkan bahawa lukisan benda yang bernyawa adalah seakan-akan mencabar ciptaan Allah, bagi para ulama yang berpandangan bahawa lukisan objek manusia dan binatang yang sempurna adalah haram, mereka menjadikan pengharaman tersebut kerana hadith Rasulullah menunjukkan bahawa orang yang melukis objek benda yang bernyawa telah mencabar Allah Taala.

* Namun bagi para ulama yang tidak berpandangan bahawa lukisan gambar manusia dan haiwan adalah haram, mereka berpandangan bahawa maksud lukisan gambar yang membawa kepada mencabar Allah Taala adalah hanya apabila gambar yang dilukis bertujuan untuk disembah

ataupun

* orang yang melukis tersebut sendiri ingin menjadikan lukisannya sebagai satu cara untuk menyatakan kepada orang lain bahawa dia mampu melakukan sebagaimana Allah menciptakan sesuatu objek. Ini bermakna si pelukis sendiri yang berniat untuk mencabar kehebatan Allah dalam mencipta alam.

* Sekiranya si pelukis tidak berniat untuk mencabar atau menandingi Allah Taala dan lukisan yang dibuat bukanlah untuk disembah, maka para ulama yang tidak mengharamkan lukisan akan menyatakan bahawa tiada sebarang sebab yang boleh mengharamkan lukisan.

Wallahua'lam.


Rujukan : Mausu`ah Fiqhiyyah Quwaitiyyah, PMRAM atau Halaqah

Currently have 1 comments:

  1. Anonymous says:

    kalau lukis orang versi kartun mcm mana yg tidak menyerupai sesiapa macam naruto dsbgnya

Leave a Reply

Post a Comment