Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Berblog, Ghoyahnya Akhirat (Bhg.Akhir)

Dec 27, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 2:59 AM



1. Sebagaimana telah saya sebutkan dalam siri pertama, mana mungkin ghoyahnya akhirat tanpa ilmu yang bermanfaat, dan mana mungkin ada Ilmu yang bermanfaat dalam blog yang sia-sia. Lebih mudah difahami, mana mungkin ghoyahnya akhirat tanpa ilmu yang bermanfaat di dalam blognya.

2. Dalam pada masa kita mengenal baik sesuatu perkara, maka sewajarnya kita mengetahui dan mengenal buruknya juga.

3. Lantas jua kiasannya dengan ilmu, ia ada baik dan ada buruknya, ada manfaat dan ada sia-sianya, serta ada rahmat dan ada laknatnya di sisi Allah.

4. Manusia begitu bebas untuk melontarkan apa sahaja yang diinginkan di dalam blog, tetapi ia tidak bebas di sisi Allah.

5. Kebanyakan manusia begitu teruja berblog dan bercerita tentang apa jua perkara, tetapi tidak sedikit daripada mereka yang ingat bahawa setiap ilmu yang terbuah daripada hasil tulisan mereka akan digunakan sepanjang zaman.

6. Jika baik dan manfaatnya ilmu daripada tulisan mereka sebagaimana disandarkan tujuannya untuk mendekatkan diri manusia kepada Allah, maka pahala baginya berpanjangan sehingga hari kiamat.

7. Tetapi jika buruk dan sia-sia ilmu daripada penulisannya itu, apatahlagi ilmu-ilmu yang menjauhkan manusia daripada tuhan mereka, maka ingatlah dosa baginya berpanjangan sehingga hari kiamat.

8. Siri akhir ini akan memaparkan kepada sahabat-sahabat tentang ciri-ciri ilmu yang tidak bermanfaat, antaranya:
1. Ilmu yang diperolehi hanya di lisan bukan di hati.

2. Ilmu yang tidak menumbuhkan rasa takut pada Allah.

3. Membuatkan manusia tidak pernah kenyang dengan dunia bahkan semakin bertambah semangat dalam mengejarnya.

4. Tidak menjauhkannya dari perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah.

5. Ilmu yang menjadikan manusia semakin sombong dan angkuh.(jauh daripada tunduk dan patuh kepada perintah Allah)

6. Menjadikan manusia mencari kedudukan yang tinggi di dunia dan berlumba-lumba untuk mencapainya.

7. Ilmu yang cuba untuk menyaing-nyaingi para ulama dan suka berdebat dengan orang-orang bodoh.

8. Tidak menerima kebenaran dan sombong terhadap orang yang menyatakan kebenaran atau berpura-pura meluruskan kesalahan kerana takut manusia lari darinya kerana menampakkan sikap kembali kepada kebenaran.

9. Mengatakan orang lain bodoh, lalai dan lupa serta merasa bahawa dirinya selalu benar dengan apa-apa yang dimilikinya.

10. Selalu berburuk sangka terhadap orang-orang yang terdahulu.

11. Banyak bicara dan tidak mengawal kata-kata.

9. Cuba kita lihat blog-blog kita, adakah terdapat ilmu-ilmu yang disebutkan? Dalam satu hadith menyebut:

من طلب العلم ليجاري به العلماء أو ليماري به السفهاء أو يصرف به وجوه الناس إليه أدخله الله النار

“Barang siapa yang menuntut ilmu untuk menyaing-nyaingi para ulama, mendebat orang-orang bodoh atau memalingkan wajah-wajah manusia kepadanya, maka dia itu telah mempersiapkan tempat duduknya dari neraka.” Sunan At-Tirmidzi No. 2653 dengan sanad yang hasan.

10. Silakanlah berblog, berblog sebagaimana yang telah dituntut oleh Islam. Jangan pisahkan blog daripada akhirat, nescaya kamu akan rugi dan hina di hadapan Allah kelak.

11. Hubungkan blog serta seluruh kehidupan kita dengan akhirat. Jangan sesekali lari dari ghoyah dan matlamat akhir kita iaitu Allah dan akhirat.

Wallahua'lam.

Murabbi Maraji':
1. Ucapan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Perasmian Konvensyen Blogger PAS 2009
2. Tulisan Al-Fadhil Ust. Yussaine Yahya

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment