Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Walaupun Jauh, Pemergian Mereka Tetap Terasa

Jan 13, 2010 , Posted by hamba_tarbiyah at 12:03 AM


Walaupun jauh, dan sempat bersama hanya beberapa bulan ketika aku berada di Tanjung Malim, semasa menjalani Latihan Industri, pemergian mereka berdua tetap memberi kesan dan bekas yang cukup mendalam kepadaku. (Gambar kiri: Allahyarham Mohd Fadhiri Bin Mohamad Ariffin)

Sempat berbicara, bergurau dan bersama adakala berbincang, aku tidak menyangka bahawasanya Allah lebih menyayangi mereka.

Sesungguhnya manusia perlu sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan maut yang entah bila akan berkunjung tiba.

Bukan sahaja bersiap siaga untuk kehilangan diri sendiri, tetapi perlu bersedia untuk kehilangan orang yang berada di sekeliling dan sekitar kita.

Alhamdulillah, walaupun baru mengenali antara satu sama lain, aku dan Allahyarham Ahmad Faizol Bin Abdul Sukor serta Mohd Fadhiri Bin Mohamad Ariffin tidak kekok untuk berbicara dan bergurau.

Inilah tarbiyah ukhuwwah yang sudah pastinya sudah terbina dan terjalin utuh dengan ikatan persaudaraan satu aqidah di kalangan kami sahabat-sahabat amilin yang menyumbang tenaga dan masa untuk perkembangan Islam di bumi Malaysia ini.

Aku sangat terasa atas kehilangan sekelip mata mereka berdua terutamanya saudara Fadhiri. Setelah hampir 6 bulan tidak bertemu, Alhamdulillah Allah pertemukan kami di Kedah baru-baru ini dalam satu program yang cukup mulia di sisi Allah.

Cukup terkejut sebenarnya kerana tiba-tiba sahabat-sahabat dari UPSI yang berada di zon tengah turut terlibat sama.


Dan tidak disangka-sangka rupa-rupanya Allah telah merancang bahawa pertemuan kami akan berakhir di situ. Ahmad Faizol Bin Abdul Sukor) (Gambar kanan: Allahyarham

Ketika dalam perjalanan pulang menaiki motorsikal setelah sampai di Tanjung Malim pada jam sekitar 4.30-5.30 pagi 11 Januari baru-baru ini, mereka terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa mereka. Kedua-duanya terperosok ke bawah lori.

Allahyarham Faizol dikatakan meninggal di tempat kejadian kerana pendarahan teruk di kepalanya dan Fadhiri pula menghembuskan nafas terakhirnya setelah sampai di Hospital Teluk Intan.

Innalillah, semoga Allah menempatkan roh mereka bersama-sama orang yang mulia di sisi-Nya, insyaAllah.

Dakwah ini tidak akan mati dengan matinya manusia, ia tetap dan bakal diteruskan.

InsyaAllah saya yakin dan percaya, sahabat-sahabat saya di UPSI sudah pastinya tidak akan lemah semangat atas kehilangan mereka berdua, tiada yang lebih mulia di sisi-Nya selain mati di atas jalan perjuangan, tiada yang lebih mulia di sisi-Nya selain mati kerana perjuangan ini.

Kita pasti akan mati, maka carilah kematian yang bakal memuliakan kita di sisi Allah kelak.

Allahuakbar!

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment