Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Antara PPSMI dan Semangat Kebangsaan

Dec 25, 2008 , Posted by hamba_tarbiyah at 2:39 PM

"Kita hendak mendirikan negara kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas dan sama berhak dan adil, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit, jauh sejauh-jauhnya dari berbau perkauman dan perasaan kolot dan kuno." -Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Ternyata, pemikiran Dr. Burhanuddin al-Helmy sebenarnya telah melangkaui zaman kehidupannya. Dasar kebangsaan yang telah dibawa amat jauh kedepan, sejauh-jauh dari sifat perkauman yang sering disalah erti oleh segelintir kita. Inilah semangat kebangsaan yang menepati kehendak Islam. Namun malangnya, pada hari ini ada sesetengah pihak yang mendasari pemikiran kebangsaan dengan corak dan pembawakan yang terlalu sempit malahan lebih berbaur perkauman. Hal inilah yang telah menimbulkan pelbagai bentuk pro dan kontra di kalangan masyarakat khususnya dalam isu bahasa.

Kita perlu menerima Hakikat, golongan yang berpandangan pro dan kontra sentiasa timbul di tengah-tengah isu yang berkaitan apa jua sekali pun. Itu perkara biasa, lumrah dalam kehidupan manusia. Hatta dalam isu bahasa, ia tidak terlepas daripada "gangguan" ini walaupun ia(Bahasa Melayu) adalah warisan dan kemegahan Tanah Melayu dan pernah menjadi Lingua Franca suatu ketika dahulu.

Kecenderungan saya dalam perjuangan memartabatkan kembali bahasa Melayu di sini bukanlah tanda saya memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu yang sempit dan bersifat as-sobiah, tetapi perkara yang saya fokuskan lebih berkisar tentang penguasaan ilmu oleh masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu dalam semua bidang dan sektor. Antara penguasaan ilmu dan penguasaan bahasa, mana yang lebih utama ? khususnya pada peringkat asas. Sudah tentu jawapannya penguasaan ilmu. Ia menjadi tunjung kejayaan sesuatu bangsa dalam mendepani era teknologi dan globalisasi.

Penguasaan Ilmu vs Penguasaan Bahasa

Sepertimana yang saya sebutkan tadi, perjuangan untuk menentang penubuhan Pengajaran dan Pembelajarana Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau dalam erti kata lain menggunakan kembali Bahasa Melayu(BM) dalam Matematik dan Sains di sekolah rendah bukanlah menunjukkan betapa kuatnya semangat kebangsaan Melayu yang ada pada saya atau mungkin kami yang sama-sama berada di atas landasan ini. Apa yang penting adalah penguasaan yang efektif subjek Matematik dan Sains oleh mirud-murid sekolah rendah. Itu yang paling mustahak.

Tiada guna jika PPSMI dilaksanakan walhal pada masa yang sama murid-murid sekolah rendah lemah dan terkontang-kanting untuk menguasai ilmu asas Matematik dan Sains. Ini merupakan tindakan yang tidak adil bagi mereka. Tambahan lagi terdengar ura-ura graf lulus dan pencapaian "A" diturunkan untuk memastikan murid-murid dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang, sedangkan penguasaan mereka dalam dua subjek itu amat lemah dan teruk sekali, ini amat berbahaya kepada generasi akan datang. Cuba bayangkan jika "basic" mereka pun lemah, bagaimana penguasaan mereka dalam kedua-dua subjek itu di peringkat sekolah menengah, kemudian Matrikulasi atau STPM atau Diploma seterusnya di Universiti., sudah tentu mereka akan menghadapi banyak masalah. Yang dikejar tak dapat, yang digendung keciciran, itulah peribahasa paling tepat yang boleh saya gambarkan nasib murid-murid dan para pelajar pada ketika ini.

Berkaitan dengan pencabulan PPSMI terhadap martabat BM di bawah perlembagaan, saya amat tertarik untuk membawa satu anologi yang cukup mudah. Cuba kita bayangkan mungkin dalam masa 10 tahun selepas perlaksanaan PPSMI berjaya dalam men"total"kan semua subjek yang berkaitan dengan Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris di semua peringkat bermula sekolah rendah hingga ke universiti, di manakah kadudukan BM pada ketika itu ? adakah semakin maju dan terus maju ? atau semakin asing dan terus asing ? atau semakin menghampiri saat-saat kepupusan ? Seharusnya kita sebagai orang Melayu cuba berusaha sedaya upaya untuk memartabatkan seterusnya mengantarabangsakan kembali bahasa Melayu di persada dunia, bukan membiarkan ia terus pupus ditelan masa dan zaman.

Apa sebenarnya yang membuatkan orang Melayu terlalu bangga dengan BI ? Saya pun tidak pasti sama ada ramai atau tidak yang tahu bahawasanya pada ketika ini, BI antara bahasa yang mengalami kemerosotan. Saya tidak menafikan BI memang cukup penting sebagai usaha untuk mengayakan bahasa,tetapi jika ia berterusan begini, tidak salah kalau saya katakan BM akan merempat di bumi tempat ia dilahirkan suatu masa nanti.

BI Amat Penting

Sesiapa pun tidak menafikan bahawa mempelajari pelbagai bahasa merupakan satu aspek penting dalam menghadapi era globalisasi, bukan sahaja BI malahan juga bahasa-bahasa lain seperti Mandarin, Arab, Perancis, Jepun dan sebagainya. Ia tidaklah menjadi kesalahan, malah Islam menuntut umatnya mempelajari pelbagai bahasa sepertimana al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd, cendikiawan-cendikiawan agung terdahulu yang mempelajari banyak bahasa. Bagitu juga sebagai contoh di Baghdad pada zaman Khalifah al-Makmum telah didirikan Bait al-Hikmah yang berperanan sebagai institusi menterjemahkan karya-karya ilmiah Yunani ke bahasa Arab, tidak lain tidak bukan ini merupakan bukti bahawa mereka telah mempelajari pelbagai ilmu bahasa termasuk bahasa Arab.

Apa yang menjadi persoalan di sini dalam hal PPSMI adalah cara perlaksanaan. Adakah dengan cara menggunakan BI dalam subjek Sains dan Matematik, ia akan dapat meningkatkan penguasaan murid-murid dan para pelajar dalam BI ? Adakah mereka akan mempelajari tatabahasa Inggeris yang akan mengukuhkan pemahaman mereka tentang BI dalam subjek Sains dan Matematik ? Adakah ia akan benar-benar meningkatkan keupayaan mereka bertutur dengan lancar dalam BI ? Saya sebetulnya hairan bagaimana kita boleh tertinggal dalam melihat aspek ini. Ia telah menimbulkan lagi satu persoalan, adakah ia merupakan strategi yang telah melalui perincian dan kajian yang sewajarnya ? Saya melihat, ada "something wrong" apabila strategi ini dilaksanakan jika ia benar-benar bertujuan untuk meningkatkan penguasaan BI murid-murid dan para pelajar.

Fakta Yang Tidak Boleh Disembunyikan

Sedar atau tidak, kajian berskala selama empat tahun yang telah dijalankan oleh pengkaji di Amerika Syarikat dengan tajaan National Science Foundation (NSF) kepada sekolah menengah di 40 buah negara seluruh dunia membuktikan pencapaian sekolah-sekolah di negara-negara yang menggunakan BI adalah lebih rendah kedudukannya berbanding negara-negara lain (yang menggunakan bahasa ibunda/sendiri). Yang menariknya lagi Thailand (yang menggunakan bahasa sendiri) berprestasi yang setanding dengan negara-negara berbahasa Inggeris itu, dan negara yang menggunakan bahasa asing (iaitu bahasa penjajahnya seperti Sepanyol, Pertugis, Perancis dan Inggeris) dalam sistem pendidikannya mendapat tempat yang tercorot. Ini adalah kajian yang dijalankan sehingga tahun 1999 (lihat Newsweek December 2, 1996 dan Internet 1).

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan ilmu, kita tidak mahu rakyat negara ini hanya hebat berbahasa Inggeris dalam kehidupan tetapi dalam pada masa yang sama lemah dan tidak mantap ilmunya dalam bidang yang berkaitan dengan ilmu Sains, Matematik dan Teknologi. Kita boleh katakan "useless". Tidak mengapa jika lemah berbahasa Inggeris tetapi hebat dalam bidang tersebut, ia adalah lebih baik. Ini jelas jika kita lihat seperti contoh negara Jepun. Rahsia kehebatan ini yang perlu diselidiki.

Perpaduan Bangsa, Islam Sebagai Asas

Sejak berkurun lamanya, BM sebenarnya telah sebati dalam kehidupan masyarakat Tanah Melayu, bukan sahaja orang Melayu yang boleh bertutur dalam BM malahan juga orang Cina dan India. Walaupun ketika itu sedikit sebanyak ada pengaruh BI dalam pertuturan mereka, namun ia tidak pernah menjejaskan kredibiliti BM sebagai bahasa utama. Hal ini membuktikan bahawasanya atas dasar bahasa, perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sudah pun wujud pada waktu itu walaupun masih lemah.

Sebagai sebuah negara merdeka, kita seharusnya memacu negara kita dengan acuan tersendiri mengikut formal yang dicanang bersama, selagi ia tidak melanggar hak setiap kaum di negara ini. BM merupakan tunjang kepada perpaduan yang seharusnya dikekalkan oleh semua bangsa termasuk Cina dan India. Kita semua seharusnya sedar tentang pentingnya BM sebagai sumber ikatan perpaduan dalam negara kita, ia boleh dijadikan medium yang terbaik untuk mengeratkan lagi jalinan perpaduan antara semua kaum dan bangsa di Malaysia. Itulah perkara baik dan berfaedah yang seharusnya kita teruskan dan teruskan sehingga kita berjaya mewujudkan sebuah Bangsa Malaysia. Jangan sesekali dibiarkan bahasa asing memonopoli keadaan negara kita dan seterusnya mengenepikan BM yang telah sekian lama menjadi bahasa "rutin" . Tambahan pula, BM mempunyai kehebatan tersendiri kerana ia merupakan satu-satunya bahasa yang boleh ditulis dengan menggunakan huruf-huruf Al-Quran yang berfungsi sebagai huruf jawi.

Islam sebenarnya merupakan formula terbaik yang seharusnya mendasari segala sistem yang ada di bumi Allah terutama dalam menyatupadukan pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia. Atas dasar Islam, pelbagai kaum boleh berada di bawah satu panji, atas panduan Islamlah bangkitnya Kerajaan Islam Madinah. Sirah telah merakamkan betapa hebat dan adilnya Islam dalam menyatupadukan seluruh kaum arab serta qabilah-qabilah di bawah panji Islam. Ini merupakan bukti bahawa Islam sebenarnya bersifat universal yang boleh diterima oleh semua umat manusia.

Justeru itu, bagi orang Islam mereka seharusnya percaya dan yakin dengan sepenuh hati bahawa Islamlah merupakan satu-satunya jalan penyelasaian bagi segala masalah di dunia ini, kerana dunia adalah Milik pencipta agama Islam iaitu Allah. Maka sebagai seorang muslim, mahu tidak mahu mereka perlu meletakkan Islam sebagai asas panduan dan rujukan kukuh yang perlu menjadi penunjuk arah dalam setiap genap dan penjuru kehidupan mereka. Sebagaimana maksud Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, Ayat 208 :

"Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu."

Maka, wajib bagi seorang muslim untuk meletakkan Islam di satu tempat yang seharusnya dijadikan penduan pada setiap masa, setiap tempat dan dalam setiap masyarakat. Ia bukan sekadar panduan bagi umat Islam, malahan juga bagi orang bukan Islam dalam melaksanakan hal-hal kebajikan dan menegakkan keadilan. Islamlah satu-satunya formala yang terbaik bagi memacu negara ke arah satu tahap dan prospek yang lebih berdaya saing dan progresif.

Wallahua'lam.

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment