Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Pengorbanan 'Ibrah Daripada Arafah (Bhg.2)

Posted by hamba_tarbiyah on Nov 29, 2009 , under , , , | comments (0)





Jamaah Haji berwuquf di Padang Arafah

"Dari Abdul Rahman bin Ya'mur R.A. katanya, Rasulullah S.A.W. menyuruh seorang penyeru menyerukan, 'Haji itu adalah Arafah', barang siapa yang datang pada malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapat Arafah" (Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)


1. Wuquf di Padang Arafah merupakan rukun haji yang kedua. Tetapi berapa ramaikah manusia yang benar-benar memahami hikmah dirukunkan wuquf itu? Berapa ramaikah jamaah haji memahami apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah bahawa "Haji itu adalah Arafah"? dan berapa ramaikah hamba Allah yang dapat menjiwai ruh pengorbanan Arafah setelah pulang ke tanah air?






2. Arafah bukan semata-mata tempat untuk menangis dan berduka, bukan juga semata-mata tempat untuk mengeluarkan air mata, malahan bukan sekali-kali tempat untuk mengeluh sebagaimana ada keluhan yang berbunyi "susahnya berwuquf di Arafah" atau "sesaknya tempat ni" atau "tak selesanya berada di dalam khemah" atau seumpamanya.


3. Ia bukan tempat untuk beretorik dengan mengalirkan air mata, bukan juga tempat beresak-esak dengan tangisan, yang langsung tiada hasil dan kesannya setelah pulang ke tanah air, bukan itu wahai muslimin dan musliman!!


4. Arafah merupakan tempat Allah melatih umat Islam agar tahu keperitan dan kesusahan dalam hidup. Mengajar manusia agar tahu erti sebuah pengorbanan.


5. Seharusnya Arafah menjadi tempat untuk umat Islam cuba merasai keperitan dan kesusahan saudara-saudara kita yang merempat di bumi sendiri, yang sebelum ini langsung tidak dapat dirasai malahan mungkin tidak langsung dipedulikan.


6. Seharusnya Arafah menjadi tempat untuk hamba-hamba Allah yang selama ini bersenang-lenang di bumi sendiri malahan tidak cukup dengan berhibur tidak kira masa, menjiwai penderitaan saudara-saudara kita yang menjadi pelarian di sempadan-sempadan bumi Allah.





7. Berada di dalam khemah, bersesak-sesak dalam lautan manusia, dan terhad kemudahannya merupakan kesusahan yang seharusnya dilihat sebagai tarbiyah daripada Allah untuk mendidik manusia agar berkorban semata-mata untuk beribadah kepada Allah.


8. Ia perlu dilihat sebagai satu bentuk tarbiyah daripada Allah untuk mengajar umat Islam agar tahu tujuan dan matlamat hidupnya, bukan semata-mata hidup untuk bersuka ria, dan berseronok, yang mana hanya kembali kepada Allah diwaktu memerlukan-Nya sahaja.


9. Ia juga sebagai satu bentuk pengajaran daripada Allah kepada manusia agar mereka faham tentang peri pentingnya pengorbanan dalam kehidupan sebagai seorang muslim, peri pentingnya berkorban dalam kehidupan sebagai seorang hamba, bukan mengejar kesenangan hidup semata-mata.


10. Seorang hamba Allah perlu berkorban untuk agamanya, untuk tertegak Islam di atas muka bumi Allah.


11. Arafah seharusnya menyemarakkan lagi ruh perjuangan dalam jiwa-jiwa umat Islam untuk mengorbankan harta dan diri mereka bukan untuk kepentingan diri, tetapi semata-mata untuk kepentingan Islam, untuk melihat Islam ini tertegak di atas muka bumi Allah seterusnya memimpin manusia, kerana kerja inilah merupakan Ibadah yang cukup besar pahalanya di sisi Allah.


12. Tidak sewajarnya jika ruh ini tidak dibawa balik oleh para jamaah haji dan amatlah malang jika haji yang dikerjakan tidak dapat memupuk hati-hati mereka agar cintakan Islam, seterusnya mempunyai semangat ingin meletakkan Islam di suatu tempat yang sewajarnya di bumi ini.


13. Sabda Rasulullah S.A.W., "Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi daripadanya."


14. Inilah kesan daripada Haji Mabrur. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan 700 000 jamaah yang telah mengerjakan haji tetapi tidak dikurniakan Mabrur [Rujuk: Pengorbanan 'Ibrah Daripada Arafah (Bhg.1)].


Wallahua'lam.


-Tamat-

Kenali Ibadah Qurban

Posted by hamba_tarbiyah on Nov 27, 2009 , under , | comments (0)








وَٱلْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِّن شَعَائِرِ ٱللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَٱذْكُرُواْ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَيْهَا صَوَآفَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُواْ مِنْهَا وَأَطْعِمُواْ ٱلْقَانِعَ وَٱلْمُعْتَرَّ كَذٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


"Dan kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syi‘ar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Hajj: 36)


Definisi Korban:
Haiwan yang disembelih kerana ibadah pada Hari Raya Adha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Dzulhijjah dengan tujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah Ta’ala. (Syeikh Daud al-Fathoni, Furu’ al-Masail, Juz 1: 259)(Juga boleh rujuk kitab Sabilul Muhtadin)


Hukum Ibadah Korban:
1. Hukum asal: Sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut).
2. Jumhur ulama: Sunat bagi orang yang mampu, makruh bagi orang yang mampu tetapi jika dia tidak melakukan korban.
3. Jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran: Tidak berdosa dan tidak wajib diqadha.
4. Menjadi wajib: Apabila dinazarkan.


2 Jenis Korban:
1. Korban sunat (muakkad – sangat dituntut)
2. Korban wajib (nazar atau wasiat)


Waktu penyembelihan korban:
1. Bermula: sesudah matahari terbit pada 10 Zulhijjah (Hari Raya Haji) dan sesudah kadar selesai sholat dua rakaat sholat hari raya dan dua khutbah pendek/ringan.
2. Afdhal: Ketika matahari naik segalah.
3. Berakhir: Terbenam matahari 13 Zulhijjah.
4. Ringkasnya: hari-hari Tasyriq, 10 Zulhijjah – 13 Zulhijjah (Bulan Islam).





Jenis-jenis Binatang:
1. Binatang ternakan (an‘am)- unta atau yang sejenisnya, lembu atau yang sejenisnya seperti kerbau dan kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri dan kibasy. (Rujuk: Surah al-Hajj, Ayat 34)


Pembahagian Daging Korban:
1. Seekor unta, lembu atau kerbau: Dikongsi oleh 7 bahagian (orang).
2. Seekor kambing, biri-biri atau kibasy: Satu bahagian (orang) sahaja.


Agihan Daging Korban:
1. Korban Wajib: Wajib disedekahkan semua daging sembelihan itu termasuk kulit, kepala dan tanduknya. Korban wajib wasiat: Tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali dengan izinnya.
2. Korban Sunat: Harus bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian; satu pertiga (1/3) untuk dimakan, satu pertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga (1/3) lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
3. Haram: Daging korban diberikan kepada orang kafir walaupun sekadar hadiah.


Masalah Memindahkan Daging:
1. Korban Wajib: Kesemua daging wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan/ke negeri lain. (Pendapat Jumhur ulama Syafi‘eyah)
2. Korban Sunat: Sebahagian yang menjadi hak orang yang berkorban harus dipindahkan ke negeri lain. Sebahagian hak untuk fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. (I‘anah At-Thalibin: 2:380)


Wallahua'lam..

Salam Aiduladha 1430

Posted by hamba_tarbiyah on , under , | comments (0)




Indah Langit Kerana Awan,
Indah Laut Kerana Kebiruan,
Indah Aidlfitri Kerana Kemaafan,
Indah Aidiladha Kerana Pengorbanan.

Saat Berderai Jatuh Titisan Air Mata Suci IBRAHIM,
Melihat Keteguhan Anaknya ISMAIL,
Dikala Itulah Bermulanya Sejarah Agung,
ERTI SEBUAH PENGORBANAN.

Salam Aiduladha 1430 kepada semua pengunjung.

Pengorbanan 'Ibrah Daripada Arafah (Bhg.1)

Posted by hamba_tarbiyah on Nov 25, 2009 , under , , | comments (0)






Apakah sebenarnya yang diimpikan oleh jemaah Haji apabila mereka menjejakkan kaki mereka khususnya pertama kali di bumi Makkatul Al-Mukarramah? Tidak lain tidak bukan ingin memberikan tumpuan yang sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah.


Apa lagi? Juga tidak terlepas niat mereka untuk mendapatkan Haji Mabrur. Apa lagi? Masing-masing mungkin boleh memberikan jawapannya. Bagaimanakah kesan Haji Mabrur ini? InsyaAllah kita akan sama-sama melihat sedikit gambarannya terutama ketika melaksanakan Wukuf di Padang Arafah.


700000 ahli Jemaah Haji Tidak Mendapat Mabrur Kecuali Zaid


Hasan Al-Basri ketika dalam suatu perjalanan, beliau telah berhenti untuk beristirehat tetapi kerana terlalu letih beliau tertidur. Semasa tertidur, beliau telah bermimpi mendengar perbualan dua Malaikat.


Berkatalah Malaikat pertama, “sungguh ramai sekali orang menunaikan ibadah haji pada tahun ini.”


Kata Malaikat kedua, “yalah, tahun inilah paling ramai orang yang menunaikan ibadah haji sehingga 700,000 orang."


Kata Malaikat yang pertama, “Tahukah kamu berapa ramaikah orang yang mendapat Haji Mabrur?"


Kata Malaikat yang kedua, “hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.”


Berkata lagi Malaikat yang pertama, “tidak seorang pun dari jemaah tersebut yang mendapat Haji Mabrur. Tahukah kamu mengapa tiada seorang pun dari jemaah tersebut layak untuk mendapat Haji Mabrur?”


“Tidak", jawab Malaikat yang kedua.


Lalu Malaikat yang pertama memberitahu,


“mereka tidak layak mendapat Haji Mabrur kerana ada yang menunaikan ibadah haji sedangkan kewajipan tanggungannya dalam kekurangan diabaikannya, ada di antara mereka menunaikan ibadah haji sedangkan jirannya yang berada dalam serba kekurangan tidak dihiraukannya, ada pula antara mereka menunaikan ibadah haji untuk kali yang kedua dan ketiga untuk menunjuk-nunjuk sedangkan masih ramai lagi orang lain yang tersangat ingin untuk menunaikan ibadah haji tetapi tidak dipedulikannya. Akan tetapi ada seorang hamba Allah yang bernama Zaid seorang tukang kasut yang tinggal di sebuah kota yang bernama Kota Damsyik mendapat pahala Haji Mabrur.”


Tatkala itu Hasan Al-Basri terjaga dari tidurnya dan masih teringat-ingat akan mimpinya. Beliau merasakan mimpinya itu benar lalu mengambil keputusan untuk menuju ke Kota Damsyik bagi mencari Tukang Kasut tersebut.


Setelah berada di Kota Damsyik, maka Hasan Al-Basri telah berjaya bertemu dengan seorang tukang kasut yang bernama Zaid. Pada mulanya, beliau tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan dan bertanyakan soalan tetapi akhirnya beliau mengambil keputusan untuk menceritakan perihal mimpinya itu kepada Zaid.


Lalu berkatalah si Tukang Kasut tersebut,


“sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, saya tersangatlah rindu berkeinginan untuk mengunjungi Kota Mekah. Maka sejak dari itulah saya mula menabung sebahagian dari duit upah sebagai seorang tukang kasut.


Maka pada tahun ini cukup sudah duit tabungan tersebut untuk saya menunaikan fardhu haji. Tetapi pada tahun ini juga isteri saya sedang hamil dan akan melahirkan anak.


Isteri saya telah mengidam inginkan masakan yang dibaunya lalu meminta pertolongan saya untuk mendapatkan.


Maka saya menyedari bahawa bau tersebut datangnya hasil daripada masakan dari rumah yang serba kedaifan milik seorang Ibu Tunggal yang menyara enam orang anaknya.


Maka saya menceritakan hasrat isteri saya mengidam hendak memakan masakannya." Lalu berkatalah Ibu Tunggal tersebut,


"masakan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami. Lalu saya berhasrat membelinya walau dengan berapa harga sekali pun. Lalu berkata lagi si Ibu Tunggal tersebut, makanan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami. Lalu diceritakannya masakan yang baunya semerbak itu adalah bangkai dari seekor keldai. Kami terpaksa memakannya agar kami tidak mati kebuluran."


Lalu dengan berlinangan air mata, saya kembali ke rumah dan menceritakannya kepada isteri saya.


Setelah mendengarnya isteri saya juga menitiskan air mata dan kami mengambil keputusan untuk memberi kesemua wang simpanan saya kepada Ibu Tunggal tersebut.


"Sekadar itulah apa yang dapat saya ceritakan kepada tuan”, berkata si Tukang Kasut kepada Hasan Al-Basri mengakhiri ceritanya.


Demikianlah prasyarat yang menjadikan Zaid ini mendapat pahala Haji Mabrur walhal beliau tidak langsung berkesempatan untuk menjejakkan kakinya walaupun sekali ke bumi Makkah.


Sedang hampir 700,000 ahli jemaah haji berada di sana, beliau tetap berada di rumah mengorbankan kudrat, harta dan duit tabungannya untuk ke Makkah demi membantu orang yang sangat dan lebih memerlukan.


bersambung...

Salah Faham Konsep Sebenar Takdir Allah

Posted by hamba_tarbiyah on Nov 24, 2009 , under , , , | comments (0)



1. Sepertimana krisis-krisis kefahaman yang lain, krisis ini juga sering berlaku dalam masyarakat khususnya bagi mereka yang tidak cuba untuk mendalami ilmu berkaitan dengan konsep Qada' dan Qadar.


2. Beriman kepada qada' dan qadar adalah wajib sebagaimana beriman kepada Allah, kerana ia adalah tunjang kepada rukun Iman.


3. Maka menjadi wajib untuk setiap daripada hamba-hamba yang mengaku beriman kepada Allah untuk memahami konsep ini.


4. Jika tidak difahami dengan baik, maka ia dikhuatiri boleh menjejaskan prinsip aqidah yang telah dipegang selama ini terutamanya apabila ia cuba difahami dan dibuat tafsiran dengan logik akal semata-mata.


"Allah takdirkan nasib seseorang itu sejak ia dilahirkan, tetapi mengapa perlu kita berusaha untuk mengubahnya?" 
"Mengapa ada percanggahan takdir Allah itu dengan ayat al-quran yang menyatakan kita perlu mengubah nasib kita, bukankah Allah yang menentukannya sebelum kita dilahirkan?
"Allah sudah menentukan jodoh, maut dan rezeki untuk setiap daripada kita, jadi tidak perlulah kita berusaha untuk mencarinya, hanya tunggu sahaja."
"Allah sudah takdirkan sesuatu perkara kepada setiap individu, tetapi mengapa Allah tidak suka kepada penceraian, walhal Allah yang menetapkannya."
"Aku berjaya kerana aku sudah berusaha bersungguh-sungguh."
"Mengapa perlu mengambil ubat-ubatan dan berusaha mengubati penyakit jika kita sudah tahu itu adalah ketentuan Allah."
"Mengapa perlu berdoa untuk mengelakkan dari ditimpa bala dan bencana, bukankah Allah sudah menetapkannya kepada siapa, di mana dan ketika mana ditimpakannya?


5. Ini adalah antara sebahagian persoalan dan tanggapan salah faham tentang konsep takdir (qada' dan qadar) yang sering timbul dalam masyarakat awam yang boleh menjejaskan akidah khususnya bagi mereka yang tidak memahaminya dengan jelas konsep takdir ini.


6. Sebelum dijelaskan secara terperinci tentang krisis ini, perlu difahami bahawa di sana telah berlaku perbahasan di kalangan para Ulama'  berkaitan perkara ini dan mereka telah membahagikan Qada' dan Qadar kepada 2 peringkat atau bahagian:
  1. Mu 'allaq : qada' dan qadar yang masih tergantung dan tertakluk kepada perkara-perkara tertentu serta belum diizinkan oleh Allah untuk berlaku. [contoh: (1)pahala puasa, ia bergantung kepada amalan hamba-Nya di sisi Allah. (2)Jodoh,maut dan rezeki yang belum datang waktunya,ia masih mu a'llaq dan tertakluk kepada ikhtiar iaitu doa dan usaha hamba. dan lain-lain]
  2. Mubram : qada' dan qadar yang sudah ditetapkan oleh Allah dan sampai masanya dilaksanakan seperti jodoh, maut dan rezeki. Tiada siapa yang mampu menghalangnya.


7. Jika anda fahami konsep ini, maka insyaAllah tidak akan timbul lagi keraguan antara dalil-dalil yang ada di dalam Al-Quran dengan kefahaman kita bahawa Allah telah menentukan takdir kepada setiap insan yang lahir ke dunia ini.


8. Kita juga perlu yakin dan percaya bahawa doa boleh menolak qadar jika diperkenankan oleh Allah dan jika Allah memakbulkan doa dan usaha kita.


9. Inilah yang telah dipegang oleh aqidah Ahlul Sunnah Waljamaah sama ada daripada Al-Imam Abu Hasan Al-Asy'ari atau Al-Imam Abu Mansur Al-Maturidi.



 Perlu berdoa dengan penuh khusyuk dan tawadho'.


10. Ia terbukti jelas dalam sirah-sirah yang menceritakan tentang takdir yang berubah atas sebab Allah memperkenankan doa dan ikhtiar mereka. Semuanya kerana rahmat dan kasih sayang Allah.


9. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa. (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi).


Wallahua'lam.