Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Industri Automotif vs Kebobrokan Ekonomi Dunia

Dec 23, 2008 , Posted by hamba_tarbiyah at 8:20 AM

"Man, engkau nak pegi mana ?" tanya aku dengan nada perlahan. Sambil membaca isu-isu terkini di internet, aku menoleh ke arahnya dan dia menunjuk-nunjuk bilik yang berada di hadapanku dengan tangan kanannya. Aku mengangguk tanda faham. Aku meneruskan pembacaan dan pencarianku.

Aku sebenarnya sedang menjalani latihan industri di sebuah kilang automotif yang telah banyak berjasa kepada negara. Hilman atau aku panggilnya Man merupakan rakan praktikalku yang agak banyak ilmunya berbanding aku dalam bidang automotif. Walaupun gembira dapat berada di salah sebuah kilang yang mungkin besar dan juga mungkin terkenal, namun ia tidaklah bermakna jika tiada pengalaman dan ilmu baru yang dipelajari dan dihadam.

PROTON, gah namanya di Malaysia, merupakan sebuah kilang automotif yang terkenal dan menjadi harapan untuk melahirkan jurutera yang berpengalaman dalam teknologi automotif dan pembuatan kenderaan. Seperti kata Dr. M, tujuan PROTON dibina adalah untuk memberi kemahiran teknologi kejuruteraan kepada rakyat Malaysia serta meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dalam bidang automotif dan penghasilan kereta.

Namun begitu sejak kebelakangan ini, PROTON telah mengalami kemerosotan dalam mendapat tempat di hati pengguna serta permintaan daripada rakyat Malaysia sendiri semakin hari semakin berkurangan. Ekoran daripada krisis ekonomi yang semakin "merebak" sejak akhir-akhir ini, PROTON sekali lagi menerima tamparan hebat dan tercabar dengan krisis "jalang" yang "dipalu" oleh tangan-tangan kotor golongan kapitalisme

Indah Khabar dari Rupa


Kobobrokan ekonomi dunia pada hari ini kian terserlah walaupun masih ada segelintir negara yang menafikan kesannya kepada negara mereka. Mereka masih menyatakan teori bahawa negara mereka masih dan akan tetap stabil, mampu bergerak serta membangun seperti biasa. Walhal hakikat sebenarnya teori mereka belumlagi terbukti secara praktikal. Inilah "cakap-cakap" yang masih terdengar dan terpancar dari mulut beberapa "orang" terkenal dalam negara kita.

Fakta terbaru, dua buah syarikat gergasi Jepun yang merupakan pengeluar barangan elektronik iaitu Sony Corp dan Nomura Holdings Inc, telah memberhentikan pekerja mereka sebagai tanda "respon" kepada krisis ekonomi yang semakin menular. Begitu juga Honda telah menarik diri daripada menyertai sukan F1 pada musim depan.

Sony Corp - Seramai lebih kurang 16000 pekerja iaitu 5% daripada jumlah pekerja termasuk pekerja asing akan diberhentikan oleh Sony sebagai usaha untuk mengurangkan kos sebanyak AS$1.1 bilion. Ini bermakna sebanyak 57 buah kilang termasuk 2 buah loji di luar negara akan ditutup menurut Thomson Reuters.

Nomura Holdings Inc - Syarikat ini telah membeli operasi Asia-Pasifik bank pelaburan Lehman Brothers tetapi telah gulung tikar baru-baru ini. Seorang pegawai tenaga manusia operasinya telah mengesahkan bahawa Nomura akan memberhentikan seramai lebih 100 pekerja mereka di Asia Pasifik.

Honda - Salah sebuah syarikat pembuat kereta gergasi di dunia sudah pun menarik diri dari perlumbaan kereta Formula One (F1) kerana kos penyertaan semakin tinggi yang dianggarkan kira-kira Pound Sterling 300 juta(lebih kurang RM1.6 bilion) menurut Max Mosley, President International Automobile Federation (FIA). Tambahan pula keadaan ekonomi dunia yang diambang kegawatan.

Turut sama merasai krisis ini adalah syarikat-syarikat gergasi di Amerika Syarikat (AS). Ford, Chrysler, dan General Motor terpaksa memulakan langkah baru untuk mengurangkan kos operasi mereka apabila setelah sekian lama bertapak teguh dalam industri automotif. Tempias juga tercalit pada Syarikat Kimia terbesar AS, Dow Chemical.

General Motors (GM) - Syarikat pembuat kereta terbesar AS, General Motors (GM), mengumumkan akan memberhentikan sehingga 31,500 pekerja dan menggesa pemerintah Amerika menyediakan pinjaman sehingga AS$18 bilion ($25.5 bilion) supaya ia mampu mengharungi kegawatan ekonomi.

Dow Chemical - Syarikat Kimia terbesar Dow Chemical, juga mengumumkan akan memberhentikan 5,000 pekerja tetap dan 6,000 pekerja kontrak.

Vauxhall - Di United Kingdom, syarikat kereta Vauxhall menjalankan dasar “beli satu kereta, dapat satu percuma”. Ini kerana tidak ada lagi orang yang ingin membeli kereta. Di Malaysia pada ketika ini, kereta boleh dibeli tanpa ada duit pendahuluan.

Fakta berikut adalah cebisan natijah krisis ekonomi yang melanda dunia sejak kebelakangan ini. Ia merupakan krisis global, tidak dapat tidak akan melanda semua negara. Ia perlu dibimbangi oleh semua pihak yang seharusnya mengambil perhatian serius, bukan hanya mengeluarkan ucapan-ucapan yang hanya bertujuan untuk menjaga hati masyarakat dan meredakan kerisauan mereka. Inilah penyakit ekonomu yang melanda dunia dan terus dan terus akan melanda dunia tanpa henti.

Analisa
dan Penilaian

Timbul konflik dalam diri manusia, mencari punca mengapa ekonomi dunia mutakhirin semakin meruncing dan tidak stabil sepertimana sebelumnya ? Apakah punca sebenar yang memaksa sektor-sektor perindustrian automotif mahupun sektor lain menanggung risiko dan kesusahan seumpama ini ? Mengapa dunia yang perlu tanggung, kilang pengeluar yang terpaksa gulung tikar, masyarakat yang menjadi mangsa dan seluruh makhluk yang terkena tempiasnya ?

1998, merupakan tahun yang cukup bermakna dan bersejarah bagi rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan ekonomi dunia. Krisis ekonomi yang berlaku ketika itu telah membawa kejatuhan merudum pertumbuhan negara sebanyak 7.5%. Hal ini terjadi berikutan negara terperangkap dengan krisis kewangan serantau. Faktor utamanya adalah kerana serangan ke atas nilai mata wang negara.

Kemudian pada tahun 2008, sejarah kembali menyambar ekonomi dunia apabila berlaku kelonjatan paras harga minyak mentah dunia sehingga melebihi AS$135 satu tong. Ini disusuri dengan kenaikan harga barang dan penurunan pengeluaran sumber bekalan makanan di peringkat antarabangsa. Sorotan sejarah buruk seumpama ini tidak akan pernah padam dalam ingatan setiap individu serta masyarakat yang merasa cukup terkesan dengannya.

Inilah sebenarnya sistem ekonomi "kapitalis" yang telah berjaya meresap masuk malahan telah berdarah daging dalam sistem ekonomi kebanyakan negara-negara di dunia. Kita semua telah pun terperangkap dan amat sukar untuk "fly" daripada "lohong tragis" ini.

Anologinya mudah, seperti di Amerika Syarikat dan Eropah, berjuta-juta buruh telah mula kehilangan pekerjaan. Apabila mereka hilang pekerjaan, maka mereka tidak akan ada duit. Apabila mereka tidak ada duit, maka mereka tidak akan membeli barang-barang keperluan dan sebagainya. Apabila mereka tidak membeli barang-barang, maka kilang yang membuat barang akan "bankrup" seterusnya akan ditutup. Apabila kilang ditutup, kita pula hilang pekerjaan dan kita pula tidak ada duit. Sedar atau tidak, beginilah sebenarnya "lingkaran hitam" yang ada dalam sistem global ekonomi kapitalis yang mana telah berjangkit ke segelintir negara sepertimana yang saya jelaskan di atas.

Satu Penyelesaian, Tiada Pilihan

Abad 21 amat mencabar kekuatan peradaban manusia. Kemajuan bangsa dan negara amat bergantung kepada kemantapan tamadunnya. Cara hidup mestilah diasaskan kepada nilai beragama sepenuhnya. Kemusnahan blok Komunis dari segi geopolitik, ekonomi dan budaya adalah faktor kerosakan ideologi manusia. Blok kapitalis juga tidak dapat diteladani kerana ianya tidak berteraskan nilai-nilai positif. Kehebatan Amerika dan Eropah juga makin meluntur dan tidak dapat lagi dibuat panduan.

Islam berperanan utama untuk menyelesaikan senario ini. Sistem ekonomi yang lebih berkesan dan relevan dengan permasalah dan survival umat. Sebagai sebuah negara Islam di Asia Pasifik, Malaysia perlu menyusun pembangunannya dengan berakar umbikan kepada Al Quran dan Hadith. Sesungguhnya Islam mengutamakan penyusunan masyarakat sesebuah negara.

Pendekatan Sistem Ekonomi Islam :

  1. Setiap aktiviti berekonomi berasaskan amanah
  2. Kebebasan dalam pelaksanaan bertunjangkan syariah
  3. Setiap individu menikmati keperluannya disamping memelihara iman, intelek, keturunan dan kekayaan mereka
  4. Modal tidak diasaskan riba
  5. Output yang baik dapat memberi khidmat optimum kepada manusia.
Firman Allah bermaksud:
“Demi tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat sekelian alam” Al-Anbiya’ (21):107.

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment