Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Antara Karpal, Nizar dan Sultan

Feb 15, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 11:32 AM

Perak ketika ini masih lagi ber"isu". Isu yang cukup hangat dan mencuri tumpuan semua pihak termasuk media dan para pemerhati politik bahkan para penyokong yang senantiasa menanti dan mengharapkan kesudahan yang baik berlaku di negeri ini. Ia berkaitan "perebutan" dan "rampasan" kerajaan yang berlaku sehinggakan saat saya menulis, krisis ini masih belum lagi selesai. Keadaan bertambah parah apabila Sultan dilihat turut sama terjun dalam kemelut ini yang mana mungkin dipandang sesetengah pihak bertujuan baik untuk menyelesaikan "perebutan" kerajaan antara BN dan PR sekaligus meredakan kemarahan rakyat.

Disangkakan "kuasa" yang ada pada Sultan dan niat baik baginda untuk mengembalikan kejernihan suasana akan tercapai, tetapi malangnya lain pula yang berlaku. Bukan sahaja keadaan menjadi semakin kritikal malahan rakyat turut keliru. Hal ini memangkinkan tindakan segelintir rakyat jelata yang mula menunjukkan bahawa mereka telah hilang kepercayaan malah turut meragui tindakan yang diambil oleh baginda untuk mententeramkan keadaan setelah dilanda pergolakan politik.

Demonstrasi mula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Pelbagai bentuk bantahan yang di anjurkan dan dijaja di sana sini terus menerus baik dari pihak PR mahupun BN. Ada golongan yang memperjuangkan dan mempertahankan Sultan serta kedaulatan baginda sekaligus menjunjung titah perintah Tuanku agar MB Dato' Seri Nizar dan seluruh Exconya meletak jawatan. Tidak kurang juga ada yang memperjuangkan dan mempertahankan kepimpinan Dato' Seri Nizar sebagai MB kerana menjunjung Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang dilihat berpihak kepada MB itu.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi dan sistem raja berperlembagaan, kita semua harus sedar, titah perintah Sultan Perak tertaluk kepada perlembagaan dan Undang-Undang Negeri tetapi diingatkan, baginda berhak untuk menitahkan apa sahaja yang difikirkan perlu demi kepentingan rakyat jelata. Pun begitu, tiada "clause" dalam perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang menyatakan bahawa titah baginda perlu dipatuhi dan tidak pula ada "klause" dalam undang-undang tersebut yang dikatakan derhaka jika titah itu dilanggari, malahan sebenarnya titah baginda hanya berbentuk nasihat.

Sultan berhak dan berkuasa untuk memperkenan dan menolak sesuatu cadangan yang belum dilaksanakan tetapi bukan perkara-perkara yang sudah terlaksana kemudian ingin dibatalkan, inilah kuasa Sultan yang telah diperuntukkan oleh undang-undang. Tetapi lebih "manis" sekiranya nasihat baginda didengari dan dipatuhi jika ia benar-benar bertujuan untuk menjaga kepentingan rakyat jelata. Tetapi jika tidak, undang-undang tiada hak untuk memaksa.

Walaupun dilihat MB Dato' Seri Nizar tidak mematuhi dan tidak menerima titah baginda malahan "memohon sembah durhaka", ia tidak bererti bahawa beliau menderhaka serta ingkar kepada Sultan. Apa yang dipegang dan dilaksanakan adalah semata-mata bertujuan menjaga kesucian Undang-Undang Tubuh Negeri Perak serta melunaskan prinsip-prinsip keadilan dan demokrasi agar ia berjalan mengikut "track" yang sawajarnya.

Sultan Simbol Ketuanan Melayu dan Agama Islam

Orang Melayu khususnya tentu pantang dan rasa tercabar jika ada individu yang sama bangsa dengan mereka menderhaka kepada Sultan apatahlagi bangsa lain. Bangsa Melayu merasa cukup sensitif jika ada pihak yang menderhaka kepada Sultan kerana mereka rasakan apabila Sultan diderhaka, bermakna Sultan dicabar. Apabila Sultan dicabar bererti Melayu yang sebenarnya dicabar dan diusik. Maka sudah tentu ada yang akan bertindak agresif dan emosional mencela penderhaka ini. Inilah buktinya yang dikatakan Sultan merupakan simbol gahnya kekuatan dan kuasa ketuanan Melayu.

Tetapi apabila dipersoalkan tentang agama Islam dan Islam ini dicabar oleh pihak yang beragama lain, ke mana pula hilangnya sensitiviti masyarakat dan umat Islam di negara ini? Adakah ini sebenarnya retorik bangsa dan semata-mata "lakonan" sensitiviti pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan yang hanya memikirkan kepentingan bangsa melebihi kepentingan Agama? Islam tidak mengajar untuk kita melebihkan bangsa berbanding Agama Islam. Namun begitu, bangsa juga perlu dipertahankan jika ia dicabar apatahlagi agama Islam yang ditinggikan oleh Allah di dalam Al-Quran.

Sejarah Derhaka Melayu

Tikus tidak akan sesekali pandai mengiau jika kucing tidak mengajarnya. Kucing tidak akan sesekali pandai menyalak jika anjing tidak mengajarnya. Begitu juga manusia, hamba tidak akan sesekali pandai mengarah jika tuan tidak mengajarnya, dan rakyat tidak akan sesekali pandai menderhaka jika pemimpin tidak mengajar mereka dan menunjukkan teladan yang buruk itu kepada mereka.

Sejarah telah membuktikan, banyak penderhakaan yang telah berlaku di kalangan pemimpin mahupun rakyat jelata kepada Sultan. Sebagaimana yang berlaku di Kelantan apabila Tan Sri Mohd Yaakob yang membuat perarakan menyerahkan memorandum kepada Sultan Kelantan dan meminta Sultan Kelantan turun daripada takhta, adakah ini tidak dianggap seolah-olah memperlekeh dan menderhaka kepada raja Melayu?

Begitu juga kes pemilihan MB di Kuala Terengganu, proses mencabar kuasa Sultan juga berlaku apabila PM sendiri tidak mengiktiraf keputusan Sultan Terengganu yang ketika itu berstatus Yang Dipertuan Agong, memperkenankan Ahmad Said sebagai MB malahan menginginkan Idris Jusoh dilantik sebagai MB. Adakah ia tidak dianggap sebagai tindakan berani mencabar kuasa yang ada pada Sultan? Tidakkah tindakan ini bersifat menderhaka?

Dan yang paling munasabah untuk kita buat perbandingan dengan isu di Perak, adalah sepertimana yang telah berlaku ni Negeri Sembilan. Pihak Standard Charted Public Bank yang telah mengheret Almarhum Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke mahkamah supaya menjelaskan hutang. Mengapa tidak ada yang bangkit membantah tindakan Pihak Standard Charted Public Bank ini? Ke manakah mereka? Adakah tindakan perarakan, mencabar, menyaman seperti itu tidak dikatakan derhaka? Di mana hilangnya golongan yang kononnya menjaga kedaulatan Sultan dan Melayu pada ketika itu, malahan mengapa baru hari ini tiba-tiba muncul dan menunjukkan aksi-aksi retorik mereka?

Karpal Berani, Mengapa?

Dalam peruntukan undang-undang jelas tidak ada halangan dan sekatan untuk menyaman Sultan malahan para pelajar pengajian undang-undang pun telah memaklumi seawal mereka menduduki tahun satu lagi bahawa Sultan boleh didakwa di mahkamah. Apa boleh kita lakukan, undang-undang tersebut telah memakan diri sendiri.

Saya tidak menganggap tindakan menyaman Sultan merupakan jalan terbaik malahan ia pada pandangan saya adalah satu tindakan yang tidak "sopan" jika masih ada jalan keluar lain yang boleh digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang mebabitkan Sultan. Namun jika terdesak dan ia dibenarkan oleh undang-undang, maka itulah jalan terakhir yang mampu diambil walaupun ia diakui merupakan satu tindakan yang mungkin dipandang oleh sesetengah pihak yang tidak memahami undang-undang sebagai tindakan yang menderhaka.

Bukanlah niat saya untuk mempertahankan Karpal yang anti-Islam itu, tetapi inilah sebenarnya bukti dalam sejarah tanah air, yang ditunjukkan oleh pemerintah dan pihak-pihak yang kononnya menyanjung tinggi dan mempertahankan undang-undang negara sehingga "memakan" diri dan bangsa
sendiri. Ini amat malang jika ia berterusan berlaku pada masa yang akan datang. Tambahan pula rata-rata generasi muda pada hari ini, mula miskin jiwa dan ilmu mereka walaupun kaya dengan harta dan mewah dengan wang.

Karpal semakin berani kerana ini adalah teladan yang ditunjukkan oleh pemerintah dan masyarakat Melayu sendiri suatu ketika dahulu. Inilah hakikatnya. Tambahan pula beliau memahami selok belok perundangan negara. Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada beliau untuk meneruskan tindakanya. Malah kes ini tambah membimbangkan sesetengah pihak apabila ketua hakim negara turut membisu dalam isu tindakan Karpal yang ingin menyaman Sultan Perak. Di mana silapnya?

"Sultan dijunjung, rakyat disanjung"
"Keadilan dijunjung, masyarakat disanjung"

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment