Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Lompat "Katak" Lebih Berpendirian

Feb 12, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 11:14 AM

Sebagaimana katak, manusia juga pun mampu "lompat melompat". Malahan "lompatan" yang dibuat oleh manusia jauh lebih menarik dan licik berbanding katak atau kodok yang berada di daratan sehinggakan ia sukar untuk "dicekup" dan ditangkap apatahlagi susah untuk dijangka arah lompatan yang bakal dilakukan. Adakalanya lompatan mereka mengena tepat pada sasaran yang dituju dan adakalanya lompatan mereka tersasar jauh dari landasan sebenar tetapi masih dalam area "sasaran". Inilah menariknya "lompatan" yang dilakukan oleh manusia berbanding katak yang mungkin tidak mempunyai akal, tetapi sebenarnya bintang ini mampu menunjukkan moral dan maruah yang jauh lebih tinggi berbanding manusia apabila lompatannya diisi dengan pendirian yang utuh dan sentiasa konsisten.

Lompat dari satu parti ke satu parti bukanlah isunya. Bermaruah atau tidak tindakan melompat itu juga bukanlah persoalannya. Yang seharusnya terlintas dan bermain di fikiran kita adalah sebab dan atas dasar apa mereka bertindak sedemikian? Serta atas pendirian apa mereka sanggup melompat? Itulah yang seharusnya menjadi kayu pengukur sama ada bermaruah atau tidak lompatan mereka, bermoral atau tidak tindakan mereka dan "significant" atau tidak keputusan yang mereka lakukan.


Sejarah Lompat


Usah berbicara tentang maruah jika ia berlaku dalam kelompok kita dan terkena batang hidung kita sendiri. Usah berbicara tentang moral jika ia pernah dilakukan oleh kita malahan tindakan itu dihormati kerana dikatakan kononnya mengembalikan hak rakyat walaupun ditawarkan dengan umpan yang penuh kontroversi. Ia dilihat seolah-olah cakap tak serupa bikin, anak yang ditegur tapi bapa yang "bercak ketin". Sejarah tidak boleh dipadam apatah lagi diubah. Sejarah juga mengajar rakyat Malaysia agar mereka lebih berhati-hati dan membuat pembaikan untuk masa depan.

Dalam sejarah politik Malaysia, insiden lompat melompat ini bukan isu yang baru hari ini muncul malah dalam sejarah pilihanraya sebelum ini telah membukti bahawa ia pernah pun berlaku. Tidak akan timbul tindakan melompat jika lompatan itu tidak dihiasi dengan umpan yang betul-betul direbut dan dikejar. Maka atas dasar inilah sebenarnya "lompat" yang dilakukan diukur.

Jika sebelum ini begitu susah untuk segelintir daripada mereka memperolehi apa yang terbuku dihati dek dikaburi dengan nafsu serakah, maka apabila peluang untuk memenuhi kehendak nafsu mereka walaupun terpaksa melompat sudah ada di depan mata ditambahkan dengan hiasan umpan yang sebegitu rupa, maka disambarnya bagaikan ikan yang terlalu lapar dan rakus, walhal mereka sebenarnya ditipu dan menipu diri mereka sendiri malahan mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Pada PRU tahun 1959, walaupun baru 2 tahun jagung kita merdeka, tindakan melompat ini telah berjaya dilancarkan buat pertama kali sehingga menumbangkan Kerajaan PAS Terengganu apabila 3 ADUN PAS dan 3 ADUN Parti Negara menyertai UMNO. Pada ketika itu tindakan ini dilihat wajar dan tidak menjadi masalah bagi sesetengah pihak.

Seterusnya sejarah itu berulang buat kali kedua pada PRU tahun 1994 apabila sekali lagi UMNO berjaya "menyelamatkan" 2 ADUN Semangat 46 dengan memberi peluang kepada mereka untuk melompat parti dan berpihak kepada mereka. Walaupun selepas 2 kerusi DUN tersebut dikosongkan dan berlaku pilihanraya kecil dan keputusannya berpihak kepada Semangat 46, tetapi mahkamah telah membatalkan kemenangan mereka dan menyerahkan DUN tersebut kepada UMNO.

Begitu juga kes ini pernah berlaku di Sabah pada Pilihanraya 1994. Ketika itu PBS memenangi 25 kerusi, manakala BN memiliki 23 kerusi. Perlembagaan Sabah mengizinkan Parti yang memerintah melantik 6 orang ADUN tambahan, menjadikan PBS mempunyai 31 kerusi. Tanpa disangka-sangka, ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menubuhkan 5 parti baru dalam masa beberapa hari walaupun ia seolah-olah dilihat tidak munasabah. Tetapi inilah kecekapan Kementerian Dalam Negeri bekerja para waktu itu. Maka berlakulah "shopping" ADUN secara besar-besaran sehinggakan hampir kesemua ADUN melompat. Ia menyebabkan PBS hanya tinggal 6 kerusi dan Kerajaan PBS terus tumbang.

Projek Lompat

Lompat tidak langsung menjadi masalah jika ia dibuat atas dasar kerelaan demi mempertahankan perlembagaan dan hak serta kepentingan rakyat. Ia tidaklah mencerminkan tindakan wakil rakyat itu sebagai tindakan yang tidak bermoral apa lagi dilabelkan sebagai wakil rakyat yang tidak mempunyai maruah. Bermaruah atau tidak diukur atas kapasiti dasar dan sebab mereka melompat, bukan semata-mata melihat kepada tindakan melompat itu.

Maruah akan tercemar dan moral akan runtuh jika ia dilakukan atas dasar paksaan dan ditawarkan dengan umpan yang begitu lumayan sehingga membuatkan mereka lupa kepada kebajikan rakyat. Apabila tawaran harta dan pangkat ditukar ganti dengan mandat yang diberikan oleh rakyat, maka mahu tidak mahu rakyat akan tetap marah dan ramai akan merasa terkilan serta tidak berpuas hati. Mana tidaknya, jika wakil rakyat mereka berpaling tadah semata-mata kerana ketamakan dan karakusan mereka untuk membina bergunung-gunung harta dan menyusun bertingkat-tingkat pangkat.

Projek lompat yang dicanangkan biarlah berprinsip dan mempunyai pendirian yang benar untuk kepentingan rakyat. Kalau ada pihak yang serius untuk melakukan "shopping" lagi pada kali ini, maka teruskanlah. Tidak menjadi masalah dari pihak BN mahu pun PR untuk melancarkan projek "shopping" ini selagi mana ia tidak dicemari dengan sogokan, ugutan dan rasuah. Tapi adakah benar dan boleh dipercayai tiada sogokan, ugutan dan rasuah?

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment