Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Pengorbanan 'Ibrah Daripada Arafah (Bhg.2)

Nov 29, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 11:15 PM



Jamaah Haji berwuquf di Padang Arafah

"Dari Abdul Rahman bin Ya'mur R.A. katanya, Rasulullah S.A.W. menyuruh seorang penyeru menyerukan, 'Haji itu adalah Arafah', barang siapa yang datang pada malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapat Arafah" (Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)


1. Wuquf di Padang Arafah merupakan rukun haji yang kedua. Tetapi berapa ramaikah manusia yang benar-benar memahami hikmah dirukunkan wuquf itu? Berapa ramaikah jamaah haji memahami apa yang telah disebutkan oleh Rasulullah bahawa "Haji itu adalah Arafah"? dan berapa ramaikah hamba Allah yang dapat menjiwai ruh pengorbanan Arafah setelah pulang ke tanah air?






2. Arafah bukan semata-mata tempat untuk menangis dan berduka, bukan juga semata-mata tempat untuk mengeluarkan air mata, malahan bukan sekali-kali tempat untuk mengeluh sebagaimana ada keluhan yang berbunyi "susahnya berwuquf di Arafah" atau "sesaknya tempat ni" atau "tak selesanya berada di dalam khemah" atau seumpamanya.


3. Ia bukan tempat untuk beretorik dengan mengalirkan air mata, bukan juga tempat beresak-esak dengan tangisan, yang langsung tiada hasil dan kesannya setelah pulang ke tanah air, bukan itu wahai muslimin dan musliman!!


4. Arafah merupakan tempat Allah melatih umat Islam agar tahu keperitan dan kesusahan dalam hidup. Mengajar manusia agar tahu erti sebuah pengorbanan.


5. Seharusnya Arafah menjadi tempat untuk umat Islam cuba merasai keperitan dan kesusahan saudara-saudara kita yang merempat di bumi sendiri, yang sebelum ini langsung tidak dapat dirasai malahan mungkin tidak langsung dipedulikan.


6. Seharusnya Arafah menjadi tempat untuk hamba-hamba Allah yang selama ini bersenang-lenang di bumi sendiri malahan tidak cukup dengan berhibur tidak kira masa, menjiwai penderitaan saudara-saudara kita yang menjadi pelarian di sempadan-sempadan bumi Allah.





7. Berada di dalam khemah, bersesak-sesak dalam lautan manusia, dan terhad kemudahannya merupakan kesusahan yang seharusnya dilihat sebagai tarbiyah daripada Allah untuk mendidik manusia agar berkorban semata-mata untuk beribadah kepada Allah.


8. Ia perlu dilihat sebagai satu bentuk tarbiyah daripada Allah untuk mengajar umat Islam agar tahu tujuan dan matlamat hidupnya, bukan semata-mata hidup untuk bersuka ria, dan berseronok, yang mana hanya kembali kepada Allah diwaktu memerlukan-Nya sahaja.


9. Ia juga sebagai satu bentuk pengajaran daripada Allah kepada manusia agar mereka faham tentang peri pentingnya pengorbanan dalam kehidupan sebagai seorang muslim, peri pentingnya berkorban dalam kehidupan sebagai seorang hamba, bukan mengejar kesenangan hidup semata-mata.


10. Seorang hamba Allah perlu berkorban untuk agamanya, untuk tertegak Islam di atas muka bumi Allah.


11. Arafah seharusnya menyemarakkan lagi ruh perjuangan dalam jiwa-jiwa umat Islam untuk mengorbankan harta dan diri mereka bukan untuk kepentingan diri, tetapi semata-mata untuk kepentingan Islam, untuk melihat Islam ini tertegak di atas muka bumi Allah seterusnya memimpin manusia, kerana kerja inilah merupakan Ibadah yang cukup besar pahalanya di sisi Allah.


12. Tidak sewajarnya jika ruh ini tidak dibawa balik oleh para jamaah haji dan amatlah malang jika haji yang dikerjakan tidak dapat memupuk hati-hati mereka agar cintakan Islam, seterusnya mempunyai semangat ingin meletakkan Islam di suatu tempat yang sewajarnya di bumi ini.


13. Sabda Rasulullah S.A.W., "Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi daripadanya."


14. Inilah kesan daripada Haji Mabrur. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan 700 000 jamaah yang telah mengerjakan haji tetapi tidak dikurniakan Mabrur [Rujuk: Pengorbanan 'Ibrah Daripada Arafah (Bhg.1)].


Wallahua'lam.


-Tamat-

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment