Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Malaysia Bakal Jadi Negara Mafia

Dec 22, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 9:32 PM



1. Saya tidak terkejut dengan pendedahan yang dibuat oleh Al-Fadhil Ust. Nasrudin Tantawi dalam posting terbarunya. Dan tidak hairanlah ia berlaku dalam negara yang disanjung-sanjung sebagai negara yang sudah cukup Islam ini.

2. Inilah negara yang disebut oleh Allah
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ.. "..negeri yang baik (aman dan makmur) dan mendapat keampunan daripada Allah Yang Maha Pengampun."(Saba':15). Inilah dia negara Malaysia.

3. Dalam sebuah negara Islam yang menjadi model inilah adanya sebuah kumpulan gengster yang mempunyai lebih kurang 17 000 orang ahli. Ia pecahan daripada 3 kumpulan yang cukup besar iaitu kumpulan gengster Ang Bin Hoey mempunyai 122 kumpulan dengan 11,764 anggota, kumpulan Wah Kee mengetuai 40 kumpulan dengan 1,991 anggota manakala Thug Gang mempunyai 123 kumpulan dengan 3,497 anggota. (Pendedahan yang dibuat oleh Datuk Mohd Johari Baharum dalam Persidangan Dewan Negara pada tahun 2007). Tidak salah jika saya katakan negara ini boleh jadi negara mafia pada masa hadapan jika bilangan ahli mereka semakin bertambah.

4. Ia sudah lama, tetapi perlu disegarkan kembali agar rakyat tahu dan sedar bahawa mereka tidak begitu selamat. Jangan terlalu yakin dengan jaminan keselamatan yang diucapkan oleh kerajaan.

5. Tun Hanif Omar (bekas ketua polis negara) mendedahkan di akhbar The Star pada tahun 12 Ogos 2007 bahawa 40% daripada anggota polis terlibat dengan rasuah. Tidak hairanlah ia berlaku, kerana tuan-tuan mereka juga terlibat dengan rasuah yang berprofil tinggi.

6. Pada 14 February 2004, Datuk Seri Rais Yatim juga pernah mendedahkan bagaimana 18 kes rasuah yang melibatkan "high profile" telah berlaku, tetapi malangnya ia hanya berdegar-degar di dalam dewan tetapi sunyi sepi apabila di luar dewan.

7. Malaysia juga berbangga dengan cop luarnya sebagai negara Islam, lihat saja indeks rasuah Malaysia yang berada pada kedudukan 52 paling tinggi rasuahnya di peringkat antarabangsa. Tuan-tuan Malaysia ini bangga. Bangga kerana menjadi negara Islam contoh di antara negara yang tinggi indeks rasuahnya. Kita lebih tinggi dan menjadi juara berbanding Singapura. Hebat bukan.

8. Singapura bukan negara Islam tetapi Malaysia yang menjadi Negara Islam contoh berjaya mengalahkan Singapura daripada memenangi kedudukan tertinggi dalam indeks rasuah. Malaysia bangga, tetapi tidak tahu rakyat Malaysia ini berbangga atau tidak, khususnya umat Islam.

9. Sebentar tadi dalam Buletin Utama, Menteri Pertahanan Dato' Zahid Hamidi juga memberitahu bahawa enjin jet pejuang F-5E bernilai RM 50 juta hilang dan beberapa barangan lain lesap. Kementerian Pertahanan yang sepatutnya menjaga dan mempertahankan keselamatan negara kini juga tidak selamat.

10. Jika badan yang sepatutnya menjaga dan mempertahankan keselamatan rakyat pun tidak selamat, bagaimana mula dengan keselamatan rakyat?

11. Inilah negara yang disebut oleh Allah, "..negeri yang baik (aman dan makmur) dan mendapat keampunan daripada Allah Yang Maha Pengampun." Negara mendapat keampunan Allah dengan ketinggian rasuahnya, negara yang aman dan makmur dengan kumpulan gengsternya, dan negara yang selamat dan tenteram dengan badan pertahanannya sendiri yang tidak selamat dan tenteram.

12. Banggakah kita mempunyai negara Islam contoh seperti Malaysia? Banggakah?

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment