Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Bintang Kecil Hanya Merosakkan Anak-Anak

Dec 22, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 7:14 PM



1. Bintang Kecil hanya merosakkan jiwa dan roh anak-anak. Ia sudah tentunya satu hidangan yang sangat menyeronokkan bagi mereka malahan turut sama bagi abang-abang, kakak-kakak dan kedua ibu bapa mereka. Saya tidak pasti segelintir atau kebanyakan.

2. Di mana akhlak dan adab yang diajar oleh Rasulullah terhadap anak-anak yang sepatutnya dididik oleh ibu bapa dan juga pihak pemerintah?

3. Fahaman hedonisme ini seolah-olah menjadi anutan yang halal bagi mereka, walhal ia adalah satu ancaman yang cukup licik dan mempunyai agenda jahat yang cukup besar daripada musuh terhadap umat Islam.

4. Anak-anak lelaki mahu pun perempuan perlu dididik dengan akhlak dan adab-adab yang berteraskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, bukan akhlak dan adab-adab yang dibawa oleh musuh-musuh Islam.

5. Ya, memang mereka tidak bertindak kurang ajar, dan tidak menunjukkan ketidaksopanan mereka, dan mungkin tidak bersikap buruk, tetapi adakah tidak kurang ajar mereka dan kesopanan mereka atau sifat baik mereka berteraskan apa yang diajar dalam akhlak Islami dan berdasarkan ketaqwaan kepada Allah?

6. Baik hati, bersopan-santun, berbudi bahasa, berpekerti mulia, bercakap benar, dan seumpama kebaikan yang lain, jika ia bukan disandarkan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, maka tiada nilai di sisi-Nya.

7. Jika benar anak-anak ini tidak kurang ajar, baik hati, bersopan-santun atau seumpama kebaikannya, adakah ia bersandarkan kepada ketaqwaan kepada Allah? adakah ia berteraskan kepada sifat takut mereka kepada Allah? Jelas nampaknya mereka tidak takut dan tidak segan dengan maksiat yang dilakukan.

8. Malahan ibu bapa menjadi dayus kerana memaparkan batang tubuh anak mereka kepada umum, agar semua peminat-peminat dapat melihat betapa seksinya anak mereka, betapa cantik dan menggodanya anak mereka. Adakah benar wahai ibu bapa?

9. Bintang Kecil ini hanya mematikan hati dan jiwa anak-anak, bagaimana mungkin kita boleh melahirkan tokoh perubatan seperti Ibn Sina, tokoh ilmu falak seperti Al-Biruni, pakar ilmu matematik seperti Al-Khawarizmi, tokoh sejarah seperti Ibn Khladun, tokoh falsafah seperti Al-Khindi dan lain-lain jika dari kecil jiwa dan akal mereka dihidang dan disumbat dengan fahaman hedonisme ini. Tokoh besar ini dididik sejak kecil lagi dengan didikan dan hidangan Al-Quran bukan didikan dan hidangan hiburan.

10. Bintang Kecil hanya akan melahirkan ramai penghibur dalam negara Malaysia, hanya akan melahirkan ramai orang-orang yang akan menarik orang lain untuk turut sama menjadi penghibur yang mana dihati mereka langsung tiada matlamat untuk membantu Islam, malahan sebenarnya merosak dan memporak perandakan Islam. Ia jelas.

11. Jika ia dikatakan hanya sekadar suka-suka, tidak benar, jika ia suka-suka mengapa sehingga sanggup beratur panjang dan berjam-jam untuk menempatkan diri mereka dalam program seperti ini.

12. Mereka sebenarnya bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang bintang pada masa hadapan, dan yang malangnya turut mendapat dorongan dan sokongan padu daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa sanggup mendorong malahan sebenarnya membantu anak-anak mereka untuk turut sama dalam program maksiat yang menempah kemurkaan Allah. Di mana silapnya?

13. Kerajaan sebenarnya tidak bersungguh-sungguh untuk mendidik masyarakat, mereka hanya membiarkan rakyat jahil dan rosak agar mereka mudah dipimpin untuk terus menyokong mereka dengan kejahilan dan keseronokan yang dibentangkan.

14. Sekutunya seperti Malaysian Idol, Akademi Fantasia, Suara Emas dan sebagainya hanya mengundang murka daripada Allah, hanya melayakkan bala untuk diturunkan oleh Allah di samping ia hanya terus mendidik masyarakat khususnya anak-anak dengan maksiat yang entah mereka sedar atau tidak.

15. Maka jalankanlah tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepadamu untuk memimpin anak-anak ini wahai ibu bapa, masyarakat dan pihak pemerintah.

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment