Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Terkenang Pesanan Murabbi Kepada Kami (Bhg.Akhir)

Dec 13, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 10:25 PM



Jangan sesekali meragui kepimpinan Ulama' yang mukhlisin dalam perjuangan, malahan perlu tetap berdiri teguh di belakang mereka dalam memandu jamaah ini.

Cintailah Ulama' kerana mereka adalah orang-orang yang paling hampir dan takut kepada Allah serta pemimpin-pemimpin yang mendekatkan diri kita kepada Allah swt.

Jelas Al-Fadhil Ust. Yussaine Yahya lagi dalam usrahnya kepada pemuda amilin dakwah dan tarbiyah..."Saya katakan kepada anak-anak buah Darul Islah..."
Yang ketiganya, bahawasanya sebagai seorang Mukmin, kita mesti mencintai setiap perkara yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Sufyan ibn ‘Uyainah pernah mengatakan bahawa; “Seseorang yang mendakwa dia mencintai Allah SWT, sudah barang pasti dia akan mencintai apa yang dicintai Allah SWT”.

Ketahuilah dengan yakin bahawasanya tiada yang lebih dicintai oleh Allah SWT melainkan ibadah kepada Allah SWT. Justeru Allah SWT menjadikan kita supaya kita beribadah kepadaNya. Tidak kita diciptakan melainkan untuk beribadah dan menjadikan setiap gerak geri dan turun naik nafas kita adalah kerana mengabdikan diri kepada Allah SWT.



Menjadi kewajipan kita mencintai jihad, pengorbanan dan perjuangan menegakkan agama kerana ianya adalah taqarrub kita kepada Allah SWT. Bahkan sebahagian daripada ulama’ kita menyebutkan bahawasanya pekerjaan jihad dan segala yang berkaitan dengan jihad itu adalah sebaik-baik taqarrub kepada Allah SWT. Bermula daripada jihad melawan nafsu sehinggalah jihad qital melawan musuh Islam dan musuh Allah SWT.

Para sahabah radhiyalLahu ‘anhum telah menunjukkan qudwah dan ikutan kepada sekalian ummah bahawa mereka telah menghabiskan sebahagian besar daripada kehidupan mereka dengan jihad dan pengorbanan mendidik jiwa kehambaan dan jihad melawan musuh Islam dan meluaskan rahmat Islam kepada seluruh alam. Itulah taqarrub para sahabah kepada Allah SWT melalui tarbiyyah Rasulullah SAW.



Ketahuilah sebaik-baik ma’ruf di zaman ini adalah mengajak manusia kembali kepada Allah SWT melalui al amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil munkar. Allah SWT memerintahkan kita di dalam Al Quran supaya menjadi umat yang senantiasa menjadikan kerja di atas sebagai tugas utama kehidupan kita.

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” Surah Ali ‘Imran : 104



Kita yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi anggota kepada sebuah jamaah yang memperjuangkan Islam harus mensyukuri nikmat ini. Salah satu cara mensyukuri nikmat ini adalah mencintai perjuangan Islam dan jamaah ini dengan sepenuh hati dan jiwa raga. Di sinilah letaknya keikhlasan dalam perjuangan.

Sebagaimana tuntutan keikhlasan dalam kecintaan kepada Allah dengan memberikan sepenuh perhatian dan ketaatan kepada Allah, maka begitulah jua kecintaan kepada perjuangan. Sudah pasti kita akan mencurahkan sepenuh pengorbanan dan penat lelah untuk menjayakan matlamat suci perjuangan ini.



Kita juga akan berusaha untuk mempertahankan kesatuan, keutuhan dan perpaduan di dalam jamaah yang mendokong cita-cita perjuangan mengajak manusia kepada Allah SWT. Kita akan mengelakkan perpecahan. Kita akan memberikan sepenuh wala’, kepercayaan dan ketaatan kepada pimpinan perjuangan ini kerana kecintaan kita kepada jihad dan pengorbanan.

Antara ciri-ciri golongan munafiq yang disebut Allah SWT di dalam Al Quran ialah menjual hidayah untuk membeli kesesatan. Firman Allah SWT ;



“Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.” Al Baqarah : 16

Ringkas ceritanya, mereka yang telah diberi Allah nikmat berada di dalam saf perjuangan ini, tidak seharusnya menukar ganti nikmat tersebut dengan tawaran dan habuan keduniaan yang ditawarkan kepada mereka.



Mencintai perjuangan ini bererti mencintai mereka yang telah menunjukkan kepada kita jalan kepada perjuangan ini. Mencintainya jua adalah dengan mencintai perpaduan dan kesatuan dan membenci segala anasir perpecahan yang dibawa oleh golongan yang bertuhankan akal dan nafsu serakah yang cuba memporak perandakan serta mengkucar kacirkan saf perjuangan.



Hanya dengan berdiri teguh di belakang kepimpinan ulama’ mukhlisin yang memandu jamaah dengan Al Quran dan As Sunnah adalah bukti kecintaan kepada perjuangan yang merupakan seafdhal-afdhal ibadah dan taqarrub. Jangan sama sekali menuduh mereka tanpa bukti yang terang dan sahih apatah lagi hanya dengan sangkaan jahat semata. Jika ada bukti, kemukakan bukti itu jika kamu orang yang benar.

Wallahua'lam.

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment