Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Sirah "Talbiyah" dan "Boikot Ekonomi"

Feb 25, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 1:02 PM

Thumamah Bin Khuthal merupakan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang cukup digeruni oleh masyarakat jahiliyah ketika itu kerana "Izzah" yang ada pada dirinya. Beliau merupakan antara sahabat yang cukup keras sikapnya kepada Rasulullah serta tegas permusuhannya terhadap Islam sebelum beliau bergelar muslim.

................


Pada suatu ketika, seseorang yang tidak jelas kelihatan kelibatnya telah mendatangi Rasulullah tanpa baginda sedar. Tanpa diduga, secara tiba-tiba lelaki tersebut telah menghunuskan pedang yang dibawanya kepada Rasulullah lantas berkata,


"Siapakah yang boleh menyelamatkan engkau sekarang?",


Baginda menjawab, "Allah, Allah dan Allah".


Lalu tidak semena-mena pedang yang dipegang utuh oleh lelaki tadi jatuh ke tanah, terus disambar oleh baginda lantas menghunus kembali ke arah lelaki itu. Kemudian Rasulullah mengulangi soalan yang sama dan diajukan kembali,


"Siapakah yang boleh menyelamatkan engkau sekarang?"


beliau menjawab, "Engkau".

Dalam keadaan pedang yang masih terhunus, Rasulullah telah meminta agar beliau beriman kepada Allah dan menganut agama Islam, namun beliau enggan. Dalam keengganan dan sikap tegas yang ditunjukkan, beliau memohon kepada Rasulullah supaya dilepaskan dan berjanji tidak akan mengganggu baginda serta orang Islam yang lain. Rasulullah memperkenankan permintaannya, maka dilepaskan. Berlalulah lelaki itu dari tempat baginda.

Tidak berapa lama kemudian sejurus selepas peristiwa tadi, lelaki tersebut telah datang kembali menemui Rasulullah. Baginda menerima kedatangannya dengan hati terbuka. Tetapi tanpa disangka dan diduga, lelaki tersebut mengadap baginda lantas mengucap dua kalimah syahadah dan menyatakan keimanan sebenar-benarnya kepada Allah dan RasulNya. Maka muslimlah seorang pemimpin agung kaum Yamamah iaitu Thumamah Bin Kuthal, yang telah memberi sinar baru kepada Islam malahan mengukuhkan lagi kekuatan dakwah Islam di Makkah ketika itu.


Laungan Talbiyah Bergema

"Izzah" yang telah dibawa oleh sahabat agung ini menjadi sumber yang cukup kukuh kepada umat Islam kerana kekuatan ekonomi yang ada dalam kekuasaan negerinya. Setelah Thumamah memeluk Islam, beliau segera menuju ke ka'bah lalu tawaf sekelilingnya. Tetapi kali ini tawafnya berbeza dengan tawaf yang pernah dilakukan ketika beliau masih bergelar musyriq. Ini merupakan tawaf pertamanya setelah beri'ktiqad bahawa tiada tuhan melainkan Alllah dan Muhammad adalah Rasul Allah.


Buat pertama kalinya dalam sejarah Islam, sambil Thumamah mengelilingi ka'bah beliau telah melaungkan ungkapan yang belum pernah didengari oleh umat Islam ketika itu. Pada hari ini ia disebut sebagai laungan "Talbiyah" yang mana laungan ini akan disebut dan dilaung-laungkan ketika bertawaf mengelilingi ka'bah pada musim Haji. Inilah sebenarnya Thumamah Bin Kuthal yang merupakan orang pertama yang melaungkan ungkapan "Talbiyah" dalam sejarah Islam.

Dalam keadaan kegembiraan, Thumamah telah mengelilingi ka'bah sambil melaungkan "Talbiyah" dengan rasa penuh bangga dan megah menunjukkan keizzahan Islam kepada masyarakat musyriq ketika itu. Sehinggakan mereka merasakan seolah-olah tercabar dengan tindakan Thumamah lalu ingin bertindak membunuh Thumamah, walhal sebenarnya mereka tidak langsung kenal dan mengetahui bahawa beliau adalah seorang raja kepada bangsa Yamamah.


Tetapi tiba-tiba ada yang menenangkan mereka dan menyatakan kebimbangan jika mereka membunuh Thumamah . Jika mereka benar-benar ingin bertindak membunuh Thumamah, pasti kaumnya tidak akan sesekali berdiam diri malahan tidak akan teragak-agak untuk menyerang negaranya secara besar-besaran.


Ketua Musyriqin Mekah, Abu Jahal telah memanggil Thumamah lalu bertanya,


"Apakah yang telah terjadi kepada engkau wahai raja Yamamah?

Adakah engkau telah gila diracuni oleh Muhammad?"
Maka dijawab oleh Thumamah,

"Sesungguhnya aku tidak gila, tetapi aku telah berpegang kepada ajaran yang benar di sisi Allah iaitu Islam".


Abu Jahal hanya sekadar mampu mendengar ucapan Thumamah dan tidak mampu mengapa-apakan beliau, kerana Abu Jahal sedar bahawa Thumamah telah berpegang teguh kepada ajaran Muhammad malahan beliau tidak akan sesekali berpaling daripada ajaran itu. Tambahan pula, Thumamah merupakan seorang pemimpin yang kuat dan besar pengaruhnya ketika itu.


Boikot Bukan Budaya Yahudi

Setelah beberapa ketika memeluk Islam, beliau telah mengadakan boikot dan sekatan Ekonomi kepada masyarakat Jahiliyah malahan tidak membiarkan sedikit pun bekalan dan hasil bumi Yamamah untuk diberikan kepada penduduk Jahiliyah Makkah sebagai satu pengajaran kepada mereka kerana memusuhi Rasulullah dan ajaran suci yang dibawa baginda. Inilah julang-julang kalinya dalam sejarah Islam berlakunya pemboikotan ekonomi kepada musuh Islam.

Ada segelintir di kalangan masyarakat kita yang berhujah dengan menyatakan bahawa tindakan memboikot ekonomi sesetengah bangsa atau negara merupakan budaya yang telah dilaksanakan oleh Yahudi. Mereka mengambil kesempatan dengan menggunakan sirah Rasulullah S.A.W., ketika mana baginda telah diboikot oleh musuh-musuh Islam termasuk Yahudi suatu ketika dahulu. Ia tidak lain tidak bukan bertujuan untuk mengiya dan membenarkan hujah mereka seterusnya menyatakan adalah salah untuk kita melakukan pemboikotan ekonomi terhadap bangsa dan negara lain termasuk Yahudi.

Malahan ada yang lebih malang apabila mereka menzahirkan kekesalan mereka kerana kita menjulang-julang budaya ini sehingga menyebabkan bangsa sendiri menjadi mangsa akibat tindakan tersebut.
Atas dasar ia merupakan budaya Yahudi dan sirah nabawi yang digunakan, maka secara terang-terang mereka sanggup menidakkan tindakan boikat kepada Yahudi dan ternyata mereka seolah-olah "bias" kepada Yahudi. Adakah wajar sebagai seorang muslim bertindak sedemikian rupa?

Sirah tidak boleh dipadam, apatahlagi tidak boleh diubah. Malahan jangan sesekali cuba untuk mengambil kesempatan terhadap sirah nabawi untuk kepentingan diri dan nafsu semata-mata. Ia tidaklah boleh di"tarjih" dan di"match"kan dengan sebegita rupa jika kita tidak "faqih" dan "alim" malahan mungkin tidak mempunyai asas dalam memahami ilmu sirah.


Boikot bukanlah satu tindakan baru, ia sudah lama dilaksanakan malahan pada zaman Rasulullah sudah ada umat Islam yang mampu menggertak musuh-musuh Islam dengan kekuatan ekonomi yang mereka ada. Hatta berlaku tindakan memboikot ekonomi musuh-musuh yang cuba mengancam agama Allah sepertimana berlaku setelah Thumamah memeluk Islam. Ia adalah tindakan yang sangat dianjurkan oleh Islam, malahan merupakan cara untuk menunjukkan keizzahan dan kemulian Islam di mata dunia agar mereka tidak sesukati memperlecehkan agama kita. Cumanya timbul beberapa persoalan, adakah ia berjaya atau tidak? dan adakah masyarakat Islam Malaysia serius atau tidak?

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment