Karya Amal oleh hamba_tarbiyah

Mesej Berantai, Ini Soal Aqidah

Dec 21, 2009 , Posted by hamba_tarbiyah at 6:33 PM



Penyebaran mesej berantai mempunyai implikasi yang sangat tidak baik kepada masyarakat. Ini bukan soal semata-mata benar atau tidak, tetapi yang lebih mustahak adalah kerana ia melibatkan soal Aqidah.

Ukhwah kita dibina atas dasar Aqidah. Maka janganlah memutuskan ia dengan melunturkan prinsip Aqidah yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W..

Perkara yang menjadi persoalan berkaitan mesej berantai ini:

1. Jika ia berkaitan dengan sesuatu fakta, maka sejauh manakah kesahihan atau kebenaran fakta tersebut? Berita yang mengandungi unsur-unsur yang diragui keabsahan dan kebenarannya tidak kira sedikit atau banyaknya, maka wajar ditolak dan tidak perlu disebarkan. Tidakkah kita mendengar Firman Allah dalam surah Al-Hujraat, ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

2. Sejauh manakah ia boleh memudharatkan kita? Sesungguhnya tiada yang boleh memudharatkan manusia melainkan dengan kehendak Allah. Satu keyakinan yang karut malahan syirik jika percaya bahawa sesuatu perkara boleh memudharatkan dan mendatangkan musibah kepada manusia. Tidakkah kita mendengar Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 76:

قُلْ أَتَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا ۚ وَاللَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

3.Adakah semata-mata berusaha dan bertindak menyampaikan mesej ini kepada orang lain ia boleh membantu menyelesaikan masalah? Adakah sekadar itu tindakan kita?

Bukanlah menafi atau mempersoalkan usaha itu walaupun tidak seberapa, tetapi sedarlah Islam itu menginginkan umatnya mempertingkatkan Ilmu, bertindak dengan menambahkan kefaqihannya, memperhebatkan amalan ibadahnya dan memantapkan prinsip Aqidah yang dipegangnya.

Jika mesej berbentuk galakan untuk berbuat dan mempertingkatkan amalan ibadah, adakah cukup dengan hanya sekadar menghantarkannya kepada orang lain, sedangkan tiada usaha pada dirinya sendiri untuk mempertingkatkan amalan atau ibadahnya.

Jika ia berbentuk fakta yang berkaitan ancaman daripada musuh kepada umat Islam, adakah cukup sekadar menghantarnya kepada rakan-rakan atau ahli keluarga tanpa memberi sumbangan yang lebih besar dengan memperlengkapkan Ilmu pada diri demi untuk membantu Islam.

Bukanlah menafi atau mempersoalkan usaha yang sedikit itu, bukan...
Tetapi majulah lebih setapak lagi ke hadapan, malahan mungkin berpuluhan tapak atau mungkin lebih daripada itu, agar kita benar-benar faham dan sedar akan begitu strategisnya musuh untuk meratah umat Islam. Kita perlu maju agar kita bersiap sedia.

Bukanlah menafi atau mempersoalkan usaha yang sedikiti itu, bukan..
Tetapi Islam itu bersifat progresif, maka umatnya juga perlu progresif dan berdaya maju.

Peliharalah ketulenan Aqidahmu. Belajar dan pertingkatkanlah ilmu wahyumu agar dirimu tidak tergelincir walau sedikitpun ke lembah yang boleh menjejas dan merosakkan Aqidahmu.

Wallahua'lam.

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment